Eksport minyak sawit ke pasaran baharu muncul di Sub-Sahara Afrika dilihat menyokong permintaan minyak sawit Malaysia meskipun berdepan permintaan yang lemah daripada pasaran tradisional, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ia berkata, harga minyak sawit yang tinggi dan bekalan eksport yang ketat telah memberi kesan kepada penggunaan di pasaran utama seperti India dan China, terutamanya dalam dua bulan pertama 2025.
Katanya, buat pertama kali dalam beberapa tahun, import minyak sawit India dari Januari hingga Februari 2025 merosot kepada hanya 648,000 tan, ketinggalan di belakang import minyak kacang soya yang sebanyak 727,000 tan.
“Trend ini dijangka berterusan sepanjang 2025, memastikan eksport minyak sawit Malaysia kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia berkata, walaupun terdapat peningkatan import minyak kacang soya sejak tiga bulan lalu, India hanya menggantikan sebahagian permintaan minyak sawitnya.
“Dengan senario ini, terdapat keyakinan bahawa India akan meningkatkan import minyak sawit dalam beberapa minggu akan datang untuk menambah stok, yang akan menyokong harga minyak sawit,” katanya.
MPOC berkata, pada Mac 2025, harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan berlegar antara RM4,400 dan RM4,600 satu tan berikutan peningkatan persaingan daripada minyak kacang soya.
Ia berkata, bagi beberapa minggu akan datang, harga minyak sawit dijangka didagangkan dalam jajaran sempit berikutan spekulasi mengenai ketersediaan eksport dari Malaysia dan Indonesia, di tengah-tengah pemulihan pengeluaran secara beransur-ansur mulai Mac.
Katanya, pertumbuhan negatif dalam penggunaan minyak sayuran untuk tujuan tenaga bermakna sebarang peningkatan permintaan pada 2025 perlu datang daripada sektor makanan dan bukan tenaga.
“Peralihan dalam dinamik permintaan itu boleh mengehadkan potensi kenaikan harga dalam minyak sayuran,” katanya.
Mengenai inventori minyak sawit Malaysia, MPOC berkata, pada Februari 2025, inventori minyak sawit di negara ini merosot kepada 1.51 juta tan, paras terendah sejak April 2023.
Ia berkata, pengeluaran minyak sawit dari Januari hingga Februari 2025 mencecah paras terendah tiga tahun pada paras 2.42 juta tan berbanding 2.66 juta tan pada 2024 dan 2.63 juta tan pada 2023.
Katanya, kemerosotan pengeluaran didorong oleh kelewatan penuaian akibat hujan lebat dan pokok kelapa sawit yang kehabisan susulan pengeluaran kukuh pada awal 2024.
“Pemulihan dalam pertumbuhan pengeluaran tahun ke tahun dijangka hanya dari Ogos dan seterusnya,” katanya. – BH ONLINE