Kedai RuncitPilihan Editor

Perdana Menteri Mendengar Sendiri Luahan Hati Pemandu & Rider Grab, Turut Kagum Semangat “Frontliners” Tak Didendang Ini !

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kisah pemandu dan “riders” e-hailing sebagai “frontliners” tidak didendang sememangnya diketahui umum terutama di waktu pandemik Covid-19.

Rakyat menghargainya, namun ada kalanya, ramai terlupa atau tidak kisah sangat akan nasib kebajikan mereka walaupun nampak kelibat pemandu dan “riders” e-hailing ini ke hulu ke hilir, ke sana ke mari mencari sesuap rezeki walaupun mendepani keselamatan dan kesihatan yang terdedah.

Kerana itu, keluh kesah dan nadi denyut “frontliners” ini mendapat perhatian istimewa daripada pucuk pimpinan tertinggi negara.

Manakan tidak, Perdana Menteri sendiri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berbesar hati berjumpa sekelompok pemandu dan “riders” Grab bagi mendengar sendiri luahan hati mereka – bak kata orang Inggeris, heart to heart talk !

Dalam posting entri rasmi Perdana Menteri telah menaikkan pertemuan istimewa yang mana memetik;

“Tengah hari tadi, saya (Muhyiddin) berkesempatan bertemu dengan sekumpulan pemandu dan riders Grab.

“Sejak negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sehinggalah kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), banyak yang saya dengar tentang peranan pemandu dan riders e-hailing ini sebagai ‘frontliners’ tidak didendang.

“Saya merasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka.

“Apa yang penting bagi mereka ialah mencari rezeki yang halal untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak COVID-19 melanda negara,” kata Perdana Menteri.

Mendengar luahan hati mereka, Muhyiddin juga merasainya dan dapat tahu rata-ratanya mereka (pemandu dan riders) menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil.

Namun tidak mahu berpeluk tubuh, mereka menjadi pemandu/rider Grab, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.

Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih 8 jam sehari.

Ramai juga yang telah menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.

Sebelum COVID-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun sekarang, mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.

Memetik dalam entri FB rasmi itu lagi, sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar.

“Daripada saya tidak buat apa, lebih baik bekerja sebagai Grab driver. Sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan, dapatlah sedikit sebanyak membantu keluarga.” Itulah kata-kata mereka.

Malangnya, mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak, kerana bekerja sebagai pemandu dan penghantar Grab.

“Perkara ini akan saya kaji dan bincang dengan kementerian berkaitan,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin juga berpeluang bertemu dengan pasangan suami isteri OKU, Puan Siti Fatimah dan suaminya Nijaz Nathan Vellasamy.

“Saya kagum dengan mereka kerana terus gigih menjadi pemandu OKU tanpa menjadikan kekurangan mereka sebagai penghalang untuk mencari rezeki.

“Saya difahamkan terdapat lebih 200 pemandu OKU yang beroperasi dalam perkhidmatan Grab pada waktu ini.

“Mereka meminta Kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen pemandu PSV yang dikatakan amat ketat, dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain,” ujar Perdana Menteri lagi.

Kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan LPS dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedikit masa lagi.

“Saya akan meminta MOT meneliti semula perkara ini dengan seberapa segera.

“Saya amat menghargai sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain.

“Saya ingin berpesan kepada semua pemandu/rider, agar dalam pada gigih mencari rezeki, jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri,” kata Perdana Menteri yang jelas kelihatan bersemangat mendengar luahan hati mereka.

Menurut entri berkenaan, apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah.

“Sematkan semangat ini dalam diri.

“Semoga Allah memberkati usaha anda semua dan melindungi kita daripada sebarang musibah,” kata dalam entri berkenaan. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close