MalaysiaPilihan Editor

Perhimpunan Berkaitan Pilihan Raya Dilarang Bermula Esok – KJ

Kementerian Kesihatan melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa esok hingga 27 November depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perhimpunan itu termasuk termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.

Katanya, larangan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak.

Selain itu, katanya, larangan berkenaan selari dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara prosedur operasi standard (SOP) Fasa Keempat yang terkini.

“Larangan ini berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 342.

“Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu, menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala penamaan calon (8 November) dan tarikh mengundi awal (16 November).

Tempoh berkempen pula adalah selama 12 hari bermula selepas penamaan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November ini.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu, selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, sebarang perhimpunan atau majlis sosial dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Susulan pengumuman SPR berhubung pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November ini, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan membabitkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara.

“Memandangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes COVID-19 baharu dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close