Duniaku TeknokratPilihan Editor

PETRONAS Labur Modal RM60 Bilion Tahun Ini

PETRONAS melabur RM60 bilion perbelanjaan modal pada tahun ini, dengan 10 peratus akan dibelanjakan untuk bidang bukan tradisional seperti bahan kimia khusus dan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Liza Mustapha, berkata peruntukan modal juga adalah belanjawan sulung syarikat minyak dan gas nasional itu untuk ruang tenaga boleh diperbaharui.

“Sebelum ini, saya rasa tiada rancangan jumlah sepatutnya (bagi segmen tenaga bersih) kerana tiada peruntukan dari peringkat tertinggi, maka ia tidak benar-benar bermula.

Beliau berkata demikian dalam sesi MIDF Conversations yang dihoskan oleh Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Charon Mokhzani secara maya, di sini.

Entiti itu kelak disasarkan untuk menyelesaikan keperluan tenaga bersih untuk pelanggan mereka dan menyokong aspirasi global kumpulan.

PETRONAS juga akan menubuhkan unit baharu dikenali Unit Pengurusan Karbon berpusat yang memberi tumpuan kepada usaha dekarbonisasi di dalam kumpulan itu.

Perbelanjaan modal yang diperuntukkan pada tahun ini dianggarkan sama seperti jumlah sebelum pandemik COVID-19 dan lebih tinggi daripada 2020 dan 2021.

Mengulas lanjut, Liza berkata, perbelanjaan modal tahun ini meningkat dua kali ganda daripada RM30 bilion pada 2021 berikutan kembalinya aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk projek yang sedang berjalan dan baharu, yang separuh daripadanya dibelanjakan untuk projek domestik manakala bakinya untuk projek luar negara.

Mengenai kenaikan harga minyak mentah semasa, Liza berkata, PETRONAS kekal berhemat dari segi meramalkan harga minyak mentah dan akan kekal pada harga asas AS$50 hingga AS$60 setong dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ditambah dengan harga minyak mentah yang tinggi memberikan nilai berganda untuk kumpulan ketika ini.

Melangkah ke hadapan, PETRONAS katanya akan terus mencatatkan pertumbuhan tiga angka dalam pendapatan, menjejaki pertumbuhan suku pertama 2022 yang menyaksikan keuntungan bersih melonjak 154.15 peratus kepada RM23.44 bilion daripada RM9.22 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close