Kedai RuncitPilihan Editor

Usahawan Desa Bangkit Lebih Berdaya Saing

Johor mempunyai seramai 3.78 juta penduduk, dengan 1.8 juta daripada jumlah itu adalah dalam kalangan wanita termasuk di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali, berkata perangkaan bagi suku kedua tahun ini, itu menunjukkan wanita turut memainkan peranan besar dalam membangunkan sesebuah keluarga, malah masyarakat di peringkat desa, kampung, taman, daerah, negeri mahupun negara amnya.

Katanya, apatah lagi dengan pandemik COVID-19 melanda negara, input dan peluang yang disediakan kerajaan khususnya kepada golongan hawa keseluruhan perlu dipertimbangkan sebaiknya tidak hanya untuk membantu membangunkan kehidupan, malah persediaan pada hari tua kelak.

“Saya hormat dan menghayati peranan mahupun sumbangan wanita. Apatah lagi, faktor kesetiaan, komitmen, iltizam untuk membangunkan diri dan keluarga.

“Sudah tiba masanya untuk wanita mengambil peranan yang lebih besar. Realiti semasa ini perlu lebih berilmu bukan sekadar memberi kesetiaan kita kepada mana-mana organisasi mahupun institusi, namun perlunya berinformasi termasuk menjadi sebahagian dalam pembuat keputusan.

“Wanita bukan hanya mengikuti, tapi terbabit sama dalam proses itu ke arah membantu bangsa dan negara. Saya menghormati semangat yang ditonjolkan wanita dalam usaha mempertingkatkan ekonomi keluarga masing-masing,” katanya ketika menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Negeri Johor, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Henry Sum Agong, baru-baru ini.

Samsolbari berkata, perniagaan secara dalam talian dilihat menjadi antara pilihan dalam kalangan wanita terutama ia membabitkan soal pengurusan masa antara keluarga dan kerjaya.

“Kalau dahulu kita tidak pernah berurusan secara dalam talian, tapi kini perniagaan seumpama itu menjadi pilihan dalam kalangan wanita, sudah pasti ia memerlukan pendekatan berbeza.

“Dengan adanya teknologi dan peluang pengetahuan yang tersedia, wanita perlu bersedia untuk lebih berinovatif sama ada daripada segi produk, pembungkusan dan pemasaran.

“Begitu juga menghadiri seminar seumpama ini, ia satu kesempatan yang baik bagi menimba ilmu di samping menambah pengetahuan, menjalin silatulrahim, meluaskan jaringan dalam soal menghadapi pelbagai cabaran dengan keadaan sekarang,” katanya.

 

 

Peniaga, Norhidayu Mohd Sharif, 28, berkata pembabitan wanita luar bandar dalam perniagaan bukan sahaja dapat memberi inspirasi di peringkat komuniti, malah memupuk sifat kepimpinan menerusi aktiviti keusahawanan.

Norhidayu yang menetap di Kampung Semaloi, Endau, Mersing, pernah bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji bulanan maksimum RM700 mula menjalankan perniagaan kuih dan sarapan kecil-kecilan sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan yang diusahakan sendiri.

“Dua tahun lalu, saya tiada peralatan, tiada gerai. Kini, saya sudah mempunyai modal untuk menyewa gerai, selain memudahkan saya menyara tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun yang semakin membesar dengan pendapatan bulanan sehingga RM1,500,” katanya.

Suri Rumah, Rohana Mustaffa, 55, yang menjalankan perniagaan gubahan kreatif sejak tahun lalu bukanlah terlambat baginya untuk memperbaiki diri apatah lagi kehilangan suami tercinta pada Jun 2018 akibat penyakit jantung.

“Ia bagaikan satu tamparan buat saya untuk melangkah ke hadapan dan fokus mencari sumber pendapatan. Saya pergi ke kelas, saya mengasah teknik bagaimana untuk menghasilkan gubahan yang baik, saya bertanyakan peluang perniagaan daripada orang sekeliling.

“Di samping saya memanfaat peluang menyertai program sokongan kursus keusahawanan rintis seperti Quick Win anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), saya ada membuat caruman menerusi Skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dengan jumlah mengikut kemampuan supaya ada tempat untuk menabung dan simpanan hari tua.

“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah detik yang sukar terutama apabila tiada pekerjaan yang boleh dilakukan pada ketika itu. Mujur simpanan ada sebagai alternatif untuk kelangsungan hidup bersama tiga anak saya, dengan pendapatan bulanan antara RM900 hingga RM1,500, saya masih meneruskan niat untuk menyimpan,” katanya.

Bagi perancang perkahwinan, Zaharah Abas, 51, perniagaan yang diusahakan sejak enam tahun lalu memberi kepuasan kepadanya untuk mengurus kewangan sendiri dan jadual pergerakan harian.

Katanya, suaminya yang sudah pencen dan anaknya pernah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pakej perkahwinan bajet memberinya inspirasi untuk berniaga sambil beramal membantu masyarakat terutama pasangan muda yang ingin melangsungkan perkahwinan.

“Saya mencabar diri untuk berdikari. Tidak mengapa pada awalnya susah sedikit terutama mahu mendapatkan pelanggan, tetapi apabila saya memperbaiki teknik komunikasi saya, siapa sangka wanita luar bandar juga boleh berniaga dan cekal menghadapi pasang surut perniagaan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak yang mampu saya lakukan kerana tidak boleh bergerak. Namun, tempoh pasca COVID-19 ini menyedarkan ramai orang pentingnya berjimat dan itu yang saya tawarkan merangkumi mini pelamin bajet, baju pengantin berpatutan termasuk gubahan mampu milik.

“Pelanggan masih ada walaupun ada juga yang masih takut-takut mahu buat majlis, namun itu tidak menghalang saya untuk mengambil risiko mempromosikan perniagaan saya secara kecil-kecilan di sekitar kawasan bandar raya, Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam, sini,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close