Ekonomi Islam & Global

Prabowo Umum Dasar Bagi Jana Pertumbuhan Ekonomi Indonesia

Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto, sudah merangka rancangan mengembangkan ekonomi negara dengan tumpuan kepada dasar mesra pelabur dan pelancongan, sebelum mengambil alih jawatan minggu depan.

Semua inisiatif bercita-cita tinggi itu bertujuan mencapai sasaran pertumbuhan lapan peratus pada tahun ketiga pentadbiran beliau, yang akan mengangkat sumpah memegang jawatan Ahad ini.

Prabowo bergantung pada skim seperti mewujudkan ladang makanan yang akan berukuran 30 kali ganda saiz Singapura, dan pelancaran program makanan percuma untuk 83 juta orang bagi meningkatkan pengeluaran tempatan ayam, telur, ikan serta susu.

Menurut pembentangan yang disediakan untuk presiden yang bakal dilantik dan dikongsi dengan The Straits Times Singapura, rancangan sedang dirangka untuk menjadikan penerokaan minyak dan gas lebih mesra pelabur.

Pembangunan infrastruktur menjadi keutamaan bagi Jokowi, yang membina lebuh raya, landasan kereta api, lapangan terbang dan pelabuhan baharu untuk meningkatkan keterhubungan serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Sepanjang 10 tahun beliau menerajui negara, Indonesia menikmati purata pertumbuhan ekonomi tahunan yang stabil pada kadar lima peratus, dengan peningkatan pelaburan asing yang kukuh.

Negara itu juga muncul sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan, khususnya sektor penyediaan nikel untuk bateri dan kenderaan elektrik.

Prabowo pula berhasrat untuk meningkatkan pertumbuhan tahunan sehingga lapan peratus sepanjang tempoh lima tahun pertadbirannya.

Pada masa sama, Indonesia turut meneruskan cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2045, daripada kedudukan semasa sebagai negara berpendapatan pertengahan atas.

Sebagai langkah ke arah itu, antara inisiatif pentadbiran baharu adalah membangunkan ladang makanan besar di wilayah Papua, kawasan terpencil dan kurang membangun di bahagian timur Indonesia.

Ladang makanan adalah ladang pertanian yang biasanya diusahakan oleh petani tempatan dan dibiayai oleh kerajaan, bertujuan mempromosikan keselamatan makanan sendiri.

Rancangan Papua itu membayangkan penukaran 22,290 kilometer persegi tanah, kira-kira 30 kali ganda saiz Singapura, di sekitar daerah Merauke di Papua untuk menanam padi, tebu, dan ubi kayu.

Program lain Prabowo termasuk menyediakan makanan percuma kepada sehingga 83 juta orang, yang akan menelan kos 400 trilion rupiah (RM111.5 bilion) setahun.

Penerima manfaatnya termasuk pelajar, kanak-kanak kecil, dan wanita hamil, yang akan diberi makanan berkhasiat seperti ayam, telur, ikan, dan susu.

Indonesia adalah negara yang sudah berjaya menghasilkan bekalan mencukupi ayam, telur dan ikan untuk keperluan sendiri.

Dianggarkan sembilan peratus penduduk Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan bulanan 583,000 rupiah (RM162) setiap seorang.

Program makanan percuma yang akan bermula pada 2025 dan bertujuan menghapuskan kekurangan zat makanan di negara itu menerima reaksi berbelah bahagi dalam kalangan 276 juta penduduknya.

Penyokongnya mengatakan program itu akan membantu mengurangkan kemiskinan, manakala pengkritiknya bimbang mengenai lebih banyak kawasan hijau yang mungkin dibersihkan untuk tujuan pengeluaran makanan. – AGENSI

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close