Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka bertembung di 33 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
Secara keseluruhan, BN dan PH masing-masing mempertaruhkan calon di semua 56 kerusi DUN, manakala PN mengagihkan 33 kerusi yang ditandinginya antara BERSATU, PAS, PEJUANG dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Berdasarkan senarai penuh calon yang diumumkan secara berasingan oleh komponen PN malam tadi, BERSATU akan bertanding di 16 kerusi, PAS (11), MIPP (5) dan PEJUANG satu kerusi tunggal di DUN Gambir.
Sebanyak 16 kerusi yang menyaksikan saingan antara BN, PH dan BERSATU ialah Kemelah, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Serom, Bukit Naning, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Layang-Layang, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar dan Stulang.

Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (PH) bakal berdepan calon BN dan PN dalam pertandingan tiga penjuru.
Kerusi DUN Endau turut mencuri perhatian apabila bekas penyandang kerusi itu, Alwiyah Talib kembali bertanding atas tiket UMNO selepas meninggalkan BERSATU awal bulan ini.

Kerusi DUN Machap turut menjadi perhatian apabila penyandang yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Selain itu, turut menjadi perhatian ialah kerusi DUN Bukit Kepong yang disandang Ketua BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar.

Kerusi lain yang turut dijangka menjadi perhatian adalah DUN Skudai yang setakat ini menyaksikan BN, PH, PN bakal bertanding selain Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mempertaruhkan calon tunggal pada PRN kali ini.
BERSAMA tanding 15 kerusi
PRN kali ini juga bakal menyaksikan pertandingan lebih empat penjuru tidak termasuk calon Bebas selepas parti baharu iaitu BERSAMA sebelum ini mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi DUN.
Kerusi yang akan ditandingi BERSAMA ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Daripada jumlah berkenaan, tujuh kerusi kini disandang UMNO, DAP (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (1) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (1).
Semua nama calon BERSAMA akan diumumkan di Kampung Melayu Majidee, di sini malam ini.
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH (12), PN (3) dan MUDA (1).
Hari penamaan calon ditetapkan esok diikuti pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian pada 11 Julai. – BH ONLINE




