Pilihan EditorTurun Naik

Rakyat Mahu Tahu Mengapa Pelaburan Tinggi, Nilai Ringgit Melemah – Penganalisis

Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

Pelbagai tafsiran mengenai keadaan ekonomi Malaysia ketika ini dibuat pelbagai pihak. Hakikatnya, ilmu ekonomi ini adalah satu bentuk sains sosial, manakala analisisnya pula berbentuk positif dan normatif.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil serta memilih secara rambang data ekonomi yang ada untuk melakukan analisis berbentuk normatif, iaitu melakukan penilaian nilai terhadap situasi ekonomi negara.

Faktor bukan ekonomi seperti sejarah, sosial, undang-undang, budaya dan politik, perlu diambil kira. Akhirnya, apa-apa pun analisis makroekonomi dilakukan, sama ada berkenaan dengan nilai ringgit, prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi, kadar pengangguran, nilai pelaburan diluluskan, prestasi Bursa Malaysia dan nisbah hutang kepada KDNK, ia perlulah memberikan makna serta kesan nyata dan dapat dirasai kepada kehidupan rakyat seharian, sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Jika ketika ini majoriti rakyat berasakan kehidupan mereka lebih baik atau ada keyakinan dalam masa sederhana atau panjang keadaan kehidupan mereka akan bertambah baik daripada sekarang, maka kita boleh katakan ekonomi Malaysia diurus dengan baik dan berada pada landasan betul.

Reformasi ekonomi ambil masa

Namun, jika tidak ada perancangan tuntas untuk masa hadapan, adalah tidak menghairankan jika rakyat berasa risau.

Misalnya, jika kerajaan hanya mengumumkan sistem pencen akan dihapuskan tanpa ada apa-apa perancangan lain lebih baik pada masa hadapan, bukankah ini akan merisaukan rakyat teramai?

Rakyat akan bertanya, bagaimanakah kehidupan mereka akan menjadi lebih baik pada masa hadapan jika sistem pencen dihapuskan?

Baru-baru ini, data KDNK negara pada 2023 bertumbuh lebih perlahan daripada disasarkan, iaitu pada 3.7 peratus. Rakyat sebenarnya tidak kisahpun nilai data KDNK sama ada 3.7 peratus, 4 peratus atau 5 peratus sekalipun.

Apa yang mereka nak tahu atau rasakan adalah adakah data KDNK ini akan menyebabkan gaji mereka naik?

Adakah ada peluang pekerjaan setimpal untuk anak mereka yang pada ketika ini belajar di universiti tempatan dan antarabangsa?

Adakah perniagaan mereka akan menjadi lebih baik?

Adakah ini bermaksud mereka boleh menarik nafas lega kerana mereka tidak akan menjadi miskin pada hari tua kelak?

Begitu juga dengan data inflasi, yang mengikut kebanyakan ahli ekonomi dan pakar ekonomi adalah rendah dan baik. Bagi rakyat teramai, adakah ini bermaksud kos sara hidup mereka menjadi lebih rendah daripada sebelumnya? Adakah ada sinar di hujung terowong kepada mereka atau anak mereka untuk memiliki rumah sendiri kelak? Adakah harga barang-barang asas, seperti beras, tepung, telur, ayam akan turun dan bekalannya mencukupi?

Kerajaan juga baru-baru ini mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadi data tertinggi dicatat dalam sejarah negara.

Tidak dapat dinafikan ini adalah satu permulaan baik kepada reformasi ekonomi negara di bawah visi ekonomi MADANI. Jadi, kerajaan perlu pastikan pelaburan diluluskan ini dapat direalisasikan, akhirnya akan menjadikan kehidupan rakyat menjadi lebih baik.

Ini bermakna ia mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi, meningkatkan kuasa beli rakyat, mencipta ekosistem kondusif untuk perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ekonomi gig serta ekonomi digital, memastikan adanya pembinaan infrastruktur baik di sekitar kawasan perindustrian terbabit, selain pemindahan teknologi kepada penggerak industri tempatan untuk meningkatkan kapasiti perniagaan pada masa hadapan.

Mustahak mengurus jangkaan rakyat

Dalam hal ini, komunikasi sangat penting. Mengurus jangkaan rakyat sangat mustahak. Pelaburan itu sendiri mempunyai konotasi jangka panjang. Jadi, kerajaan perlu pastikan rakyat memahami jangkaan manfaat akan diperoleh bagi pelaburan diluluskan ini adalah bersifat jangka panjang.

Kerajaan perlu lebih spesifik menjelaskan pelaburan ini, sektor apa terbabit, jangkaan jumlah peluang pekerjaan dicipta, bentuk dan jenis pekerjaan dicipta, sama ada pekerjaan berkemahiran rendah, sederhana atau tinggi, bilakah projek ini akan bermula dan sebagainya.

Data pelaburan ini juga berkait dengan petunjuk lain dalam prestasi ekonomi negara seperti nilai ringgit. Rakyat akan bertanya, kenapa pelaburan masuk tetapi nilai ringgit semakin lemah?

Perlu difahami bahawa nilai ringgit bukanlah petunjuk utama untuk menilai prestasi ekonomi negara. Selain itu, kejatuhan nilai ringgit ini sebenarnya dapat memberikan kesan positif langsung kepada kehidupan rakyat teramai seperti peningkatan dalam industri pelancongan dan sektor eksport.

Jadi, apakah perancangan kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat sekarang menjadi lebih baik disebabkan kejatuhan ringgit dan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kehidupan mereka akan menjadi lebih baik pada masa hadapan kesan jumlah pelaburan semakin meningkat ini?

Pada ketika ini, kerajaan perlu perincikan bagaimana pelaburan RM329.5 bilion ini dapat direalisasikan, apakah strategi serta dasar baharu perlu diperkenalkan, akhirnya kesan limpahan berlaku dan rakyat akhirnya akan mendapat manfaatnya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close