MalaysiaPilihan Editor

Makin Ramai Lewat Bayar Pinjaman Bank – BNM

Bayaran balik pinjaman tidak mengikut jadual oleh isi rumah terus meningkat pada separuh kedua 2022, berikutan peningkatan kos pinjaman dan kos sara hidup semasa.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, perkara yang berlaku itu sebahagian besarnya sudah dijangkakan sebelum ini.

“Bantuan bayaran balik pinjaman yang khusus kekal tersedia untuk membantu peminjam di samping bantuan pengurusan kewangan peribadi yang disediakan melalui AKPK bagi membantu mereka mencapai kedudukan kewangan yang lebih kukuh,” katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022.

BNM berkata, risiko peminjaman berlebihan turut berupaya meningkat kerana pinjaman menjadi lebih mampu milik di sebalik tempoh kadar faedah yang sangat rendah.

Ketika tinjauan dilaksanakan dalam tempoh itu, OPR berada pada paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus.

Bank pusat berkata, nisbah pinjaman terjejas dan delinkuen dalam kalangan pinjaman baharu juga kekal lebih rendah daripada purata sektor isi rumah dengan masing-masing berada pada 0.5 peratus.

Keadaan ini katanya menunjukkan bank-bank terus mengamalkan kehematan dalam menjalankan penilaian kemampuan.

Malah katanya, sehingga Disember 2022, bahagian pinjaman isi rumah yang dikelaskan sebagai Tahap 2 oleh bank terus bertambah baik kepada 6.7 peratus berbanding lapan peratus pada Jun 2022.

Ini katanya sejajar dengan penurunan berterusan hutang isi rumah di bawah bantuan bayaran balik pinjaman.

“Kebanyakan peminjam yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman telah menyambung semula membayar pinjaman mereka tanpa kesukaran.

“Nisbah pinjaman delinkuen dan terjejas dalam kalangan peminjam ini, walaupun lebih tinggi daripada keseluruhan pinjaman isi rumah, masih kekal rendah dengan masing-masing pada 1.4 peratus dan 1.8 peratus,” katanya.

Trend pinjaman Tahap 2 dijangkakan terus bertambah baik pada 2023 apabila lebih ramai peminjam Tahap 2 yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman melengkapkan tempoh pemantauan minimum membayar pinjaman.

Ini lazimnya dalam tempoh enam bulan, tetapi beberapa bank memantau dalam tempoh yang lebih lama, iaitu sehingga 12 bulan sebelum pinjaman mereka dikelaskan semula sebagai Tahap 1.

“Bank walau bagaimanapun kekal berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan risiko kredit yang disebabkan oleh peminjam yang mempunyai beban khidmat hutang yang lebih tinggi, serta peminjam yang keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman.

“Bank terus berinteraksi dan berbincang dengan kumpulan peminjam ini secara aktif,” katanya.

Secara umumnya, untuk tahun ini, bank pusat itu berkata, nisbah pinjaman terjejas isi rumah dijangka akan meningkat secara sederhana.

Ini didorong terutamanya oleh tekanan kewangan dalam kalangan peminjam isi rumah yang mudah terjejas, terutamanya kumpulan yang berpendapatan lebih rendah dan individu yang bekerja sendiri atau bekerja dalam sektor ekonomi yang masih sedang pulih daripada pandemik.

BNM berkata, situasi sama turut berlaku pada separuh kedua 2022 di mana nisbah pinjaman terjejas isi rumah turut meningkat.

Katanya, bagi nisbah pinjaman delinkuen pula ia dijangka kembali normal menghampiri tahap sebelum pandemik apabila lebih ramai peminjam keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close