Taikun Thailand, Prasit Jeawkok dijatuhi hukuman penjara 1,155 tahun selepas didapati bersalah atas 321 pertuduhan penipuan oleh Mahkamah Jenayah semalam.
Bagaimanapun mengikut amalan perundangan negara itu, Prasit hanya akan menjalani hukuman penjara paling lama 20 tahun.
Prasit dan dua defendan lain masing-masing turut didenda 145 juta baht (RM19.9 juta) dan diperintahkan membayar 321 mangsa kira-kira satu bilion baht (RM0.13 bilion) sebagai pampasan.
Memetik laporan Thai PBS World, enam lagi defendan bagaimanapun dibebaskan kerana bukti yang tidak mencukupi.
Prasit dan rakan sekutunya dituduh mengendalikan skim Ponzi, di bawah perlindungan usaha niaga pelaburan sepanjang 2020 dan 2021, menjanjikan pulangan yang lumayan untuk pelaburan antara 40.15 hingga 51.1 peratus.
Laman webnya menggambarkannya sebagai “Jack Ma of Thailand”.
Halaman bertajuk “Biografi presiden” memaparkan foto Prasit yang diambil bersama mendiang presiden Privy Council Prem Tinsulanonda; Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dan beberapa bekas menteri Kabinet dan komander kanan tentera.
Dia mendakwa 90 peratus daripada keuntungan dikembalikan kepada masyarakat melalui projek yang dipanggil “Membayar Kembali kepada Tanah Air”, sebanyak 100 juta baht (RM13.3 juta) setiap tahun dalam kerja amal dan sumbangan kepada orang ramai. – AGENSI