Dimensi BisnesKedai RuncitPilihan Editor

Usahawan Sekarang Ini Mempunyai Kemahiran Dan Kecekapan Mengeluarkan Produk – Pengerusi UDA

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Kami (UDA) lihat usahawan sekarang ini mempunyai kemahiran dan mempunyai kecekapan untuk mengeluarkan produk mereka,” kata Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Namun, beliau mengenal pasti perlu ada sesi bimbingan dan penerangan dari aspek pembungkusan serta pemasaran dalam kalangan usahawan.

“Soal berkenaan agak kurang dalam kalangan mereka dan di sini UDA bersama beberapa agensi lain akan membantu mereka bagi penerangan.

“Usaha ini yang UDA mahu terapkan di beberapa zon lagi melalui penganjuran karnival supaya dapat beri khidmat dan pada masa sama menyediakan platform kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka hingga ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini hari ini.

UDA selaku peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti serta perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dalam matlamatnya bagi membantu golongan peniaga terutama usahawan kecil memasarkan produk mereka.

Penganjuran yang masuk ke lokasi kedua membabitkan zon utara di Tasek Gelugor, bermula semalam hingga esok dengan penyertaan hampir 200 usahawan dalam pelbagai bidang yang akan dibantu pihak UDA.

Norliza berkata, penganjuran karnival ini antara lain ialah UDA sebenarnya ingin membantu golongan usahawan terutama mereka yang baru mula berniaga dan usahawan kecil.

“UDA ambil inisiatif untuk mengenal pasti dan seterusnya membantu dengan memberi khidmat nasihat serta bantu memasarkan produk mereka,” katanya.

Pada majlis itu, UDA turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan dan menyerahkan khemah mudah alih kepada 80 peniaga Pasar Karat di Tasek Gelugor.

Penganjuran karnival yang pertama telah diadakan di Odean Walk, Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Ogos lepas, ia membabitkan seramai 200 usahawan dalam pelbagai bidang dengan nilai jualan mencecah RM2 juta.

Penganjuran di Tasek Gelugor ini antara lain juga bagi mempergiatkan keusahawanan dan sosio ekonomi tempatan serta selari dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur dan sejahtera, selain itu, UDA juga berharap dapat mencapai sasaran jualan seperti penganjuran yang pertama.

“UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama tiga bulan sehingga Oktober depan akan menjelajah ke lima lokasi di seluruh negara.

Lokasi pertama di Odeon Walk, seterusnya di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 Sept), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 Sept), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 Sept-2 Okt) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Okt).

UDA menyasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi dengan mengetengahkan usahawan meliputi pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, selain jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close