Pilihan EditorTwo Cents

Nilai Wajar Ringgit RM4.10 Hingga RM4.37 Sedolar AS – Penganalisis Ekonomi

Nilai wajar bagi ringgit diunjurkan berada pada paras antara RM4.10 hingga RM4.37 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), demikian menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata pergerakan nilai ringgit sewajarnya ditentukan oleh kuasa pasaran, namun peningkatan dolar AS baru-baru ini menyebabkan mata wang pasaran baharu muncul termasuk ringgit mengalami penyusutan nilai.

Walau bagaimanapun, beliau optimis bahawa mata wang tempatan itu akan kembali pulih dan mengukuh semula dalam tempoh terdekat.

“Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun ini,” katanya kepada BH.

Secara purata, penganalisis menjangkakan ringgit berada pada paras RM4.56 berbanding dolar AS pada suku ketiga 2023 dan RM4.50 pada suku keempat 2023.

Selasa lalu, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa ia melihat tahap penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan asas ekonomi Malaysia, malah berpendapat bahawa pergerakan kadar pertukaran mata wang tempatan baru-baru ini adalah keterlaluan.

FMC menyatakan bahawa meskipun ketidaktentuan ringgit meningkat sejajar dengan mata wang serantau, tahap peningkatannya adalah lebih tidak seimbang serta tidak sepadan dengan pergerakan relatif yang pernah dicatatkan.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut bersetuju bahawa isu jangka pendek termasuk risiko kemelesetan ekonomi di negara maju akibat kadar faedah tinggi mempengaruhi pergerakan nilai ringgit.

“Jika dilihat, Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) sudahpun berada pada paras 5.25 peratus, manakala Kadar Bank di United Kingdom (UK) pula adalah 5.00 peratus. Dua kadar faedah ini adalah lebih tinggi daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini berada pada paras 3.00 peratus.

“Dalam satu sudut pandang, pulangan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) dan UK adalah tinggi. Jadi perkara inilah yang menyebabkan pasaran mata wang menjadi meruap. Namun, kadar faedah ini sifatnya tidak statik. Ia mungkin turun sekiranya ekonomi mula tertekan akibat daripada tahap kecairan yang rendah.

“Oleh itu, ramai pemerhati ekonomi dan pasaran sudah mula berbicara berkenaan risiko kemelesetan ekonomi di negara maju akibat daripada kadar faedah yang tinggi. Jadi inilah isu jangka pendek yang akan mempengaruhi nilai ringgit,” katanya,

Mengulas mengenai pengumuman campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) pasaran pertukaran asing, Mohd Afzanizam berkata, ia adalah modus operandi bagi sesebuah bank pusat terutama apabila berlaku kemeruapan pasaran yang keterlaluan.

Namun, beliau menjelaskan bahawa campur tangan itu hanya berbentuk untuk meredakan pasaran dan bukannya menentukan sebarang sasaran bagi nilai ringgit.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata campur tangan BNM adalah tepat pada masanya dan ia mungkin bersifat administratif dan regulatif.

“Secara dasarnya, saya tidak menjangka ada campur tangan struktural yang akan mengejutkan pelabur asing seperti tambatan ringgit ataupun pelaksanaan kawalan modal. Saya juga tidak menjangka OPR dinaikkan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Campur tangan BNM boleh memberi kesan positif kepada pergerakan Bursa Malaysia dan nilai ringgit kerana secara keseluruhan, asas ekonomi negara masih lagi kukuh pada ketika ini.

“Dari segi fiskal, kerajaan mungkin boleh menggubal dasar khusus memperkasakan sektor pelancongan bagi mengukuhkan nilai ringgit secara langsung dalam jangka masa pendek,” katanya.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, campur tangan BNM ditunggu rakyat dan perniagaan yang mahukan kestabilan.

“Golongan perniagaan mahukan kestabilan dalam urusan perniagaan yang membabitkan untung dan rugi. Manakala, rakyat pula bimbang dengan kenaikan harga barangan keperluan terutama makanan yang diimport kesan daripada kelemahan ringgit.

“Tambahan lagi, ekonomi Malaysia walaupun dalam keadaan yang kukuh tetapi penurunan jumlah eksport dalam beberapa bulan yang lalu membimbangkan walaupun nilai ringgit menurun,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close