Farm Fresh Bhd (FFB) memeterai perjanjian pembelian saham dengan vendor The Inside Scoop Sdn Bhd (TISSB) untuk cadangan pengambilalihan 462,739 saham biasa tersedia dalam TISSB.
FFB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pengambilalihan itu mewakili 53 peratus daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB yang membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan lebih kurang RM68.4 juta, tertakluk kepada pelarasan.
FFB juga memeterai perjanjian langganan saham (SSA) dengan TISSB bagi cadangan langganan 104,771 saham baharu TISSB, mewakili 12 peratus daripada saham terbitan diperbesarkan dalam TISSB dengan jumlah pertimbangan langganan sebanyak RM15.5 juta berdasarkan terma dan syarat perjanjian.
Sementara itu, dalam makluman berasingan, FFB mengumpul jumlah hasil kasar kira-kira RM300.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancarkan pada 28 Februari 2022.
Hasil kasar itu akan digunakan untuk perbelanjaan modal, modal kerja dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.
“FFB berhasrat bagi memanfaatkan kecekapan serta pengalaman pengasas TISSB yang akan menerajui bahagian aiskrim FFB dalam penerokaan kami ke pasaran aiskrim yang menguntungkan,” katanya. -BERNAMA