Ekonomi Islam & GlobalMalaysia

AS, Malaysia capai Persetujuan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, yang akan memberi akses pasaran belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut kenyataan bersama kerajaan AS dan Malaysia yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, perjanjian ini akan dibina berasaskan hubungan ekonomi jangka panjang antara kedua-dua negara, termasuk Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Perdagangan AS-Malaysia yang ditandatangani pada 2004.

Kenyataan itu menjelaskan, terma utama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara AS dan Malaysia termasuklah komitmen di pihak Malaysia untuk memberikan akses pasaran keutamaan yang besar bagi eksport barangan perindustrian dari AS.

Ini termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam, serta kenderaan penumpang.

Malaysia juga akan membuka pasaran bagi eksport pertanian AS seperti hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging babi, beras, dan etanol bahan api.

Komitmen AS pula adalah mengekalkan tarif timbal balas pada kadar 19 peratus seperti yang ditetapkan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025 (serta pindaan kemudiannya) terhadap barangan yang berasal dari Malaysia.

“AS juga sudah mengenal pasti produk dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025 (Pelarasan Tarif Potensi untuk Rakan Sejajar) untuk menerima kadar tarif timbal balas sifar peratus,” katanya.

Kenyataan itu menambah, Malaysia bersetuju untuk menangani halangan bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dua hala dalam sektor perindustrian utama.

Ini termasuk menerima kenderaan keluaran AS yang dibina mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan kenderaan bermotor AS; mempermudah lesen import bagi produk keluli aloi, paip, dan barangan berasaskan keluli dari AS; memperkemas keperluan halal bagi produk seperti kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan; serta menangani kebimbangan AS terhadap prosedur penilaian pematuhan.

Malaysia akan menangani dan mencegah halangan bukan tarif terhadap produk makanan dan pertanian AS di pasaran tempatan, termasuk menerima sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pengawalseliaan AS; memperkemas keperluan halal dan pendaftaran fasiliti bagi memudahkan import; serta melaksanakan pengiktirafan wilayah di AS bagi penyakit haiwan.

Malaysia bersetuju untuk mengamal dan mengekalkan tahap perlindungan alam sekitar yang tinggi serta menguatkuasakan undang-undang alam sekitar dengan berkesan, termasuk mengambil tindakan terhadap pembalakan haram, subsidi perikanan, penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU), serta perdagangan hidupan liar haram.

Malaysia bersetuju meningkatkan penguatkuasaan terhadap pasaran yang terbabit dalam pemalsuan dan cetak rompak.

Malaysia komited untuk mencegah buruh paksa serta mengenal pasti dan menangani pelanggaran undang-undang buruh dalam sektor yang berisiko tinggi terhadap buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Kedua-dua negara memuktamadkan komitmen Malaysia untuk menangani halangan dalam perdagangan digital, perkhidmatan dan pelaburan.

Malaysia bersetuju untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi syarikat AS atau mewajibkan platform media sosial dan penyedia perkhidmatan awan AS membayar ke dalam dana domestik Malaysia; membenarkan pemindahan data rentas sempadan yang dipercayai dengan perlindungan sewajarnya; menyokong moratorium tetap terhadap duti kastam atas penghantaran elektronik di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO); serta menghapuskan sekatan siaran daratan terhadap program AS.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menangani isu perlindungan dan penguatkuasaan harta intelek, kemudahan kastam dan perdagangan, amalan pengawalseliaan yang baik, serta tingkah laku mengganggu pasaran oleh syarikat milik kerajaan.

AS dan Malaysia bersetuju memperkukuh kerjasama dalam keselamatan ekonomi dan negara, meningkatkan daya tahan serta inovasi rantaian bekalan, menangani pengelakan cukai import, dan bekerjasama dalam keselamatan pelaburan serta kawalan eksport.

Malaysia bersetuju untuk tidak melarang atau mengenakan kuota eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS.

Malaysia juga komited untuk mempercepatkan pembangunan sektor ini bersama syarikat AS, termasuk pemberian lesen operasi lanjutan bagi memastikan jaminan kepada perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Tiada sekatan akan dikenakan terhadap penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS.

Selain itu, kedua-dua negara turut mengambil maklum mengenai perjanjian komersial yang sedang dan akan dimeterai antara syarikat AS dan Malaysia.

Ini termasuk perolehan 30 pesawat dengan opsyen pembelian tambahan 30 lagi; pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data dengan nilai dianggarkan AS$150 bilion; pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair (LNG) bernilai sehingga AS$3.4 bilion setahun; pembelian arang batu dan produk serta perkhidmatan telekomunikasi bernilai AS$204.10 juta; dan pelaburan dana modal di AS sebanyak AS$70 bilion.

Menurut kenyataan bersama itu, AS mungkin mempertimbangkan kesan perjanjian ini terhadap keselamatan negara, termasuk mengambil kira perjanjian ini apabila melaksanakan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 232 Trade Expansion Act of 1962 (19 U.S.C. 1862).

Selain itu, katanya bagi menyokong hubungan ekonomi yang adil antara Malaysia dan AS, Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang berbincang untuk memuktamadkan persefahaman bersama mengenai dasar mata wang.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kedua-dua negara akan melaksanakan proses domestik masing-masing sebelum perjanjian ini berkuat kuasa sepenuhnya,” katanya. – HARIAN METRO ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close