Duniaku TeknokratMalaysiaPilihan Editor

Hampir RM2 Juta Dana Berjaya Dipulangkan Semula Kepada Mangsa ‘Scam’ – Gabenor BNM

Sejumlah RM12.91 juta dana dirampas dan RM1.99 juta dana yang dicuri dipulangkan semula kepada mangsa penipuan atau ‘scam’ menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata NSRC yang ditubuhkan pada Oktober 2022 berperanan sebagai platform kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri komunikasi.

“Hasil daripada usaha kerjasama ini, NSRC kini beroperasi 24 jam sehari untuk menerima aduan, menjejak, membekukan dan memulihkan dana yang telah diperdaya.

“Sehingga suku ketiga tahun 2025, pusat ini telah menerima 263,683 panggilan, berjaya merampas RM12.91 juta, dan memulangkan RM1.99 juta wang mangsa penipuan,” ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Antarabangsa ke-15 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF 2025), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim.

“Dalam suku pertama tahun 2025 sahaja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian di seluruh negara dengan jumlah kerugian sebanyak RM573.7 juta,” katanya.

Beliau turut menggesa industri kewangan supaya memperkukuh daya tahan dan integriti sektor itu menerusi tiga prinsip utama iaitu kerjasama, kreativiti dan tatatsusila bagi menghadapi ancaman jenayah kewangan yang semakin kompleks di era digital.

Katanya, ketiga-tiga prinsip itu bukan sekadar aspirasi, sebaliknya panduan penting untuk membentuk masa depan sistem kewangan yang selamat, beretika dan berdaya saing.

“Prinsip kerjasama, kreativiti dan tatasusila bukan hanya slogan, tetapi panduan dalam setiap tindakan ketika kita berdepan landskap kewangan yang sentiasa berubah,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, ASEAN juga perlu memperkukuh kerjasama serantau dalam membanteras jenayah kewangan rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penipuan digital, pembiayaan keganasan dan aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, jenayah kewangan tidak mengenal sempadan dan hanya boleh ditangani melalui pendekatan secara keseluruhan negara dan keseluruhan rantau yang menyatukan kerajaan, sektor kewangan serta masyarakat antarabangsa.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam penerbitan Pelan Tindakan ASEAN bagi Membanteras Jenayah Rentas Sempadan (2025–2036) serta Deklarasi Pertama ASEAN mengenai Pembanterasan Pengubahan Wang Haram, yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan rantau ini untuk memperkukuh keselamatan dan kestabilan serantau, sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close