Ekonomi Islam & GlobalTwo Cents

PANDANGAN: Konflik AS-Iran, Subsidi bahan api lindung kejutan kos pengangkutan – Penganalisis

Pelaksanaan subsidi bahan api menjadi benteng kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah daripada berdepan kejutan peningkatan kos mendadak akibat kenaikan harga minyak mentah dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, kata penganalisis.

Menurut analisis awal oleh BMI, anak syarikat Fitch Solutions, mendapati negara yang melaksanakan penetapan harga dan subsidi bahan api termasuk Malaysia mencatatkan kesan tambahan inflasi yang sederhana.

Analisis awal BMI itu menunjukkan kebanyakan ekonomi di rantau Asia Pasifik, kesan langsung penambahan kadar inflasi akibat kenaikan 10 peratus harga minyak mentah direkodkan antara tujuh mata asas hingga 27 mata asas kepada Indeks Harga Pengguna (IHP).

China dan India meskipun pengimport minyak terbesar di rantau ini secara mutlak, menunjukkan kesan inflasi yang sederhana dengan masing-masing tujuh mata asas, sementara Malaysia sekitar lapan mata asas.

“Subsidi bahan api bertindak sebagai penyerap kejutan, tetapi mempunyai kos fiskal terhadap kerajaan berikutan tanggungan subsidi,” katanya dalam nota penyelidikannya.

BMI berkata, sebahagian besar negara di Asia Tenggara dan Selatan seperti Indonesia, Malaysia, India dan Pakistan melaksanakan beberapa bentuk penetapan harga yang ditadbir atau subsidi langsung ke atas bahan api runcit.

Ia berkata, apabila harga minyak mentah meningkat, kerajaan menghadapi pilihan binari sama ada menyerap kenaikan kos dan melindungi pengguna dengan mengorbankan imbangan fiskal atau melangkaui harga dan menerima inflasi yang lebih tinggi.

“Malaysia adalah kes yang paling instruktif. Had harga petrol RON95 menyebabkan kerajaan menanggung anggaran kira-kira 1.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam subsidi tahunan walaupun Brent pada AS$75 setong,” katanya.

Analisis awal BMI terhadap kesan inflasi juga menunjukkan negara di Asia Tenggara yang menjadi pengimport bersih tenaga iaitu Thailand diunjurkan bakal menerima kesan pukulan inflasi yang paling tinggi.

Menurutnya, Thailand paling menonjol dengan 27 mata asas jumlah impak IHP, iaitu yang tertinggi dalam sampel kajiannya, didorong oleh wajaran tenaga yang besar iaitu 11.8 peratus dalam bakul IHP.

Katanya, Korea Selatan dan Taiwan pula masing-masing dijangka menanggung impak penambahan inflasi sebanyak 13 dan 12 mata asas.

Ia berikutan sistem harga yang tidak dikawal kerajaan dan ekonomi yang banyak bergantung kepada sektor pembuatan, di mana kenaikan kos tenaga akan memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian bekalan.

BMI turut memberikan peringatan penting bahawa angka kajian itu adalah anggaran pusingan pertama mekanikal yang tidak mengambil kira tindak balas dasar monetari oleh pihak bank pusat untuk meredakan pasaran. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close