Profesor Diraja yang juga tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia di sini, petang semalam (8 Mac 2026).
Pendakwah bebas, Syed Abdul Kadir Aljoofre yang berkongsi perkembangan itu berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pagi esok (hari ini pada 9 Mac 2026) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Semoga Allah S.W.T mengampuni segala dosanya, menerima segala amalan dan jasa baktinya buat ummah dan menempatkannya di Syurga Firdaus bersama para Nabi dan Salihin,” katanya menerusi hantaran pada Facebook miliknya malam ini.
Turut berkongsi berita pemergian Allahyarham adalah Pengerusi Daie Madani, Amir Zuhair Abdull Khalid, yang menyifatkan tokoh berusia 94 tahun itu banyak berjasa kepada bangsanya.
Pada Oktober 2024, Allahyarham dikurniakan Profesor Diraja atas sumbangannya terhadap negara terutama dalam bidang pendidikan Islam.
Pengurniaan itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan berkenaan.
Profesor Diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.
Gelaran tertinggi itu dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.
Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran Profesor Diraja adalah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.
Syed Muhammad Naquib yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) itu adalah individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada 1977.
Hasil pembentangan itu, kemudian membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Selain itu, Allahyarham turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.- BH ONLINE




