MalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Ahli Parlimen Titiwangsa Dedah Situasi Sebenar Ekonomi Negara

Ekonomi negara tidak menggambarkan realiti sebenar !

Malahan trend pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat menurun sepanjang tahun lalu !

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melahirkan kebimbangan itu yang disifatkan bahawa trend pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menurun sepanjang tahun lalu boleh menyebabkan negara berisiko terus ketinggalan berbanding negara ASEAN lain.

Katanya, walaupun prestasi ekonomi negara pada 2022 mencatat pertumbuhan 8.7 peratus, ia tidak menggambarkan realiti sebenar kerana pertumbuhan mengikut suku tahun mencatat penurunan.

“Kalau dilihat situasi semasa walaupun  turut disokong dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia pada 2023 dan 2024, namun ia dilihat jauh ketinggalan berbanding Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Menurut Berita Harian, jika trend itu berterusan dan unjuran Bank Dunia menjadi kenyataan, bekas Menteri Kewangan II itu bimbang ia akan menyebabkan peningkatan pengangguran dan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Pada suku pertama 2022, ekonomi kita berkembang 3.8 peratus, suku kedua turun sikit 3.5 peratus dan suku ketiga jatuh kepada 1.9 peratus, namun yang membimbangkan saya ialah bila tiba suku keempat, ekonomi Malaysia menguncup kepada -2.6 peratus.

“Bank Dunia pula meramalkan pada 2023 dan 2024 Malaysia hanya diunjur berkembang empat peratus dan turun 3.9 peratus pada 2024, bermakna ekonomi menurun lebih rendah berbanding purata perkembangan ekonomi sebelum COVID-19 antara 2017 hingga 2019 pada purata lima peratus.

“Jika dibandingkan negara ASEAN lain, Bank Dunia ramalkan Indonesia berkembang 4.8 peratus pada 2023 dan 4.9 peratus pada 2024. Filipina pula 5.4 peratus (2023) dan 5.9 peratus (2024), manakala Vietnam diunjur berkembang 6.3 peratus (2023) dan 6.5 peratus (2024).

Inilah angka yang sepatutnya menjadi kebimbangan kita sebagai sebuah negara dan kerajaan, untuk melihat bagaimana kita boleh menamatkan trend ini,” katanya ketika mencadangkan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Johari turut menzahirkan kebimbangan dengan hasil keseluruhan Kerajaan Persekutuan yang tidak mencatat peningkatan ketara, apabila hanya mencatat RM221 bilion pada 2021 yang hampir sama seperti hasil pada 2017 iaitu RM220 bilion.

Katanya, situasi itu merisaukan kerana penurunan hasil menyebabkan kerajaan berdepan defisit besar, yang meningkat kepada hampir RM100 bilion atau 5.6 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu, berbanding hanya tiga peratus pada 2017.

Selain itu, jelasnya, defisit itu pula menyumbang kepada peningkatan hutang negara hingga menjejaskan kemampuan kerajaan mengguna hasil untuk membangunkan negara kerana terpaksa membayar faedah hutang yang tinggi.

“Pada 2017, faedah hutang yang kita bayar setahun hanya RM27.9 bilion atau 12.6 peratus daripada hasil kerajaan, tetapi pada tahun lalu ia meningkat kepada lebih RM43 bilion atau 14.6 peratus daripada hasil kerajaan.

“Dengan pendapatan yang kurang, KDNK terkesan dan defisit membesar, hutang meningkat dan inilah antara cabaran negara hari ini untuk lihat apa keupayaan kita berdepan isu yang menyebabkan ekonomi kita terkesan pada masa akan datang,” katanya.

Johari turut menggesa kerajaan segera mencari jalan untuk mengurangkan kebergantungan kepada Petronas yang terlalu tinggi, hingga menyebabkan agensi penarafan antarabangsa menurunkan penarafan syarikat petroleum negara itu.

Katanya, kebergantungan itu antara lain disumbangkan oleh pemberian subsidi minyak secara meluas tanpa sasaran, hingga hasil yang diterima daripada Petronas tidak dapat menampung kadar subsidi minyak yang jauh lebih tinggi.

Secara purata antara 2018 hingga 2022, kerajaan ambil purata hampir RM60 bilion daripada Petronas. Namun pada 2022, subsidi petrol dan diesel mencecah hampir RM80 bilion, menyebabkan setiap pendapatan daripada Petronas tidak dapat digunakan untuk membangun negara, tetapi hanya untuk bayar subsidi,” katanya.

Johari turut menyentuh mengenai situasi Malaysia yang ketinggalan sebagai destinasi pelaburan pilihan berbanding Indonesia dan Vietnam, menyebabkan pelaburan langsung asing (FDI) yang Malaysia peroleh jauh ketinggalan berbanding dua negara jiran itu.

“Pada 2021, Malaysia cuma dapat AS$7.3 bilion, tapi Indonesia kumpul hampir AS$23.2 bilion dan Vietnam catat AS$22.6 bilion. Pada 2022, FDI kita naik kepada AS$17 bilion, tapi Indonesia melonjak kepada AS$45.6 bilion dan Vietnam konsisten dengan AS$27.7 bilion,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close