Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Syarat ke atas BYD sebahagian rangka kerja automotif Malaysia, tidak bersifat diskriminasi – Johari Ghani

Syarat-syarat yang dikenakan ke atas cadangan operasi pemasangan oleh pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD di Malaysia adalah sebahagian daripada rangka kerja dasar automotif negara yang lebih luas serta tidak bersifat diskriminasi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan bahawa syarikat tempatan gergasi automotif antarabangsa itu, BYD Automotive Malaysia Sdn Bhd (BYD) diluluskan Lesen Pembuatan Sementara (ML) pada 29 September 2025 untuk menjalankan pemasangan kenderaan penumpang cekap tenaga (EEV), termasuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid Plug-In (PHEV) di Tanjung Malim, Perak.

Beliau berkata, lesen itu diberikan berdasarkan profil pengeluaran berorientasikan eksport, di mana sebahagian besar pengeluaran ditujukan ke pasaran antarabangsa bagi memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia dan rantaian bekalan serantau.

Katanya, ia dikeluarkan dengan syarat khusus yang direka untuk memastikan keselarasan dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), menggalakkan aktiviti bernilai tinggi, termasuk integrasi rantaian bekalan tempatan, pemindahan teknologi dan pengeluaran berorientasikan eksport serta mengelakkan gangguan pasaran dan memastikan pembangunan industri yang mampan.

Penjelasan itu susulan laporan bahawa BYD sedang menilai semula rancangan membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, dengan dakwaan kerajaan mengenakan syarat tidak memihak kepada syarikat itu.

Selaras dengan itu, MITI telah menetapkan syarat tambahan ke atas ML.

Menurut Johari, syarat itu antara lain adalah jumlah jualan yang diluluskan ditetapkan pada 10,000 unit untuk pasaran domestik, atau 20 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran BYD, sambil mengutamakan integrasi eksport.

“Ini bukan satu sekatan tetapi rangka kerja pengeluaran yang dipersetujui bersama,” katanya.

Selain itu, Johari berkata untuk melayakkan diri sebagai aktiviti pembuatan bernilai tambah tinggi, proses pemasangan mesti merangkumi operasi ‘body shop’, pengecatan dan kemasan dalam negara.

Tegasnya, badan kenderaan siap dicat sepenuhnya (PBS) tidak diiktiraf sebagai kandungan layak bagi penilaian nilai tambah tempatan dan mesti diperoleh secara domestik.

“Walau bagaimanapun, BYD masih bebas mendapatkan komponen dari seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, harga minimum atas jalan (OTR) ialah RM100,000.

“Syarat-syarat yang dilampirkan adalah tidak diskriminatif dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.

“Ini bertujuan memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen pasaran bernilai lebih tinggi dan mampan, serta mengelakkan penggantian ekosistem vendor sedia ada.

“BYD tidak dipilih secara khusus, kerana syarat yang sama terpakai kepada mana-mana peserta CKD (pemasangan tempatan) baharu,” kata Johari.

Beliau menegaskan bahawa syarat untuk mengehadkan jualan domestik kepada 10,000 unit setahun, yang bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran yang diunjurkan oleh BYD merupakan syarat berorientasikan eksport yang bertujuan memastikan pelaburan menyumbang kepada imbangan perdagangan Malaysia serta integrasi rantaian bekalan global.

“Ia bukan sekatan terhadap jumlah pengeluaran keseluruhan, sebaliknya satu langkah strategik untuk menggalakkan orientasi eksport,” katanya.

Dalam pada itu, harga minimum atas jalan (OTR) sebanyak RM100,000 untuk kenderaan CKD BYD yang dijual dalam negara memastikan pemasangan tempatan memberi tumpuan kepada segmen bernilai lebih tinggi, di samping mengekalkan ruang pasaran untuk pemain nasional seperti PROTON dan PERODUA, sambil masih menawarkan penyelesaian EV yang mampu milik.

Johari berkata, Malaysia berterima kasih atas keyakinan yang ditunjukkan oleh BYD dan pengeluar EV global lain terhadap negara ini.

Menurutnya, keputusan pelabur untuk menubuhkan operasi di KLK TechPark merupakan satu tanda keyakinan yang signifikan terhadap ekosistem perindustrian Malaysia serta potensi pertumbuhan jangka panjangnya.

“Malaysia amat berhasrat untuk mengalu-alukan pengeluar bertaraf dunia termasuk BYD, bukan sahaja untuk pemasangan kenderaan tetapi juga untuk terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai automotif, daripada pembuatan komponen dan penyelidikan & pembangunan (R&D) hingga ke logistik dan perkhidmatan selepas jualan, seiring usaha negara membangunkan hab automotif yang komprehensif dan berdaya saing global,” katanya.

Walau bagaimanapun, Johari berkata pengeluar automotif nasional, PROTON-Geely dan PERODUA-Daihatsu, bersama-sama menyumbang lebih 63 peratus daripada jualan kenderaan tempatan serta menyokong ekosistem yang melibatkan lebih 700,000 pekerja, dengan sumbangan kira-kira empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setiap tahun.

Beliau berkata, PERODUA-Daihatsu mengekalkan kadar tempatan melebihi 75 peratus bagi model arus perdana, manakala PROTON-Geely mencapai 76 peratys pada tahun 2025.

“Dalam kes PROTON-Geely, sebanyak 18 teknologi baharu telah dibangunkan melalui program penyetempatan termasuk usaha sama dalam pam bahan api, modul penukar gear elektronik dan transmisi CVT.

“Secara keseluruhan, PROTON dan PERODUA telah menyalurkan berbilion ringgit ke dalam ekosistem vendor Malaysia, menyokong ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tenaga kerja mahir serta komuniti di seluruh negara. Inilah standard industri yang ingin kita capai dan gandakan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close