Two Cents

PANDANGAN: Malaysia ekonomi ASEAN paling kurang terjejas konflik Asia Barat – Penganalisis

Malaysia dilihat sebagai ekonomi di seluruh ASEAN yang paling kurang terjejas secara negatif oleh impak konflik Asia Barat, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata pergantungan Malaysia terhadap import minyak mentah Asia Barat diimbangi oleh kedudukannya sebagai pengeluar minyak dengan kapasiti penapisan, menyokong prospek ekonomi yang agak berdaya tahan.

Beliau berkata, peningkatan ketegangan geopolitik Asia Barat berlaku di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang agak berdaya tahan, dengan momentum pertumbuhan secara umumnya utuh merentasi rantau utama sebelum konflik.

Katanya, unjuran global menjelang 2026 menunjukkan senario pertumbuhan perlahan dan bukannya kemelesetan, disokong oleh pelonggaran keadaan kewangan, peningkatan jumlah perdagangan dan kestabilan sentimen pelaburan.

“Hakikatnya, konflik semasa berlaku di tengah-tengah latar belakang ekonomi global yang agak berdaya tahan.

Di seluruh ASEAN, kami melihat Malaysia sebagai ekonomi yang paling kurang terjejas secara negatif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Chia berkata, sekiranya ketegangan geopolitik dan konflik reda, dinamik pertumbuhan ASEAN mungkin meningkat, terutamanya di bahagian luaran.

Beliau berkata, perangkaan perdagangan terkini menunjukkan peningkatan kukuh prestasi eksport dari Malaysia dan Singapura, yang mendapat manfaat daripada permintaan berkaitan elektronik dan pembuatan.

Sementara itu, momentum eksport di Indonesia dan Thailand pula, jelasnya kekal agak perlahan.

“Secara keseluruhan, garis dasar pra-konflik menggariskan bahawa risiko geopolitik semasa muncul pada ketika persekitaran ekonomi global dan serantau kekal berdaya tahan secara asasnya walaupun lebih sensitif terhadap tenaga, perdagangan dan saluran keyakinan berbanding kitaran sebelumnya,” katanya.

Chia berkata, Asia Barat adalah zon kritikal khususnya Selat Hormuz, yang menjadi laluan perdagangan utama bagi 20 peratus bekalan minyak mentah global.

Beliau berkata, walaupun terdapat serangan meluas oleh AS dan Israel terhadap aset tentera dan tenaga Iran sejak 28 Februari lalu, Iran berjaya kekal berdaya tahan untuk meneruskan serangan balas terhadap pangkalan AS di rantau Teluk dan terhadap Israel.

Katanya, ia termasuk serangan langsung ke atas Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain selain menghentikan trafik kapal tangki melalui Selat Hormuz secara berkesan.

Menurutnya, strategi Iran dilihat membabitkan negara Teluk yang memberi tekanan kepada AS dan meningkatkan tekanan ekonomi terhadap ekonomi AS apabila harga minyak mentah tinggi meningkatkan risiko inflasi global.

“Harga minyak yang lebih tinggi sejak sebulan lalu mungkin sudah cukup untuk menyuntik kecenderungan menurun bagi pertumbuhan ekonomi global dan tekanan menaik bagi harga pengguna global.

“Kami menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus berikutan ketegangan semasa di Asia Barat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close