Duniaku TeknokratGovernans

Pelaburan swasta domestik mampu hidupkan semula aset usang – Johari Ghani

Usaha pelaburan swasta domestik berupaya menghidupkan semula aset usang selain dapat merancakkan ekosistem ekonomi setempat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi pembangunan semula Brisdale International Hotel Kuala Lumpur menerusi pelaburan domestik yang direalisasikan oleh syarikat tempatan dan bukan sekadar cadangan atau perancangan di atas kertas.

“Ini adalah pelaburan modal swasta yang dilaksanakan oleh syarikat milik penuh tempatan dengan risiko dan tanggungjawab ditanggung sendiri oleh pihak pelabur,” katanya ketika berucap merasmikan hotel berkenaan di Jalan Haji Hussein berhampiran Kampung Baru di sini, malam tadi.

Johari juga menyifatkan pelaburan sedemikian memerlukan keberanian dan keupayaan usahawan untuk menilai risiko dengan teliti sebelum melaksanakan sesuatu projek.

“Usahawan perlu berani mengambil risiko, tetapi risiko itu mesti dikira (diteliti). Dalam mana-mana bidang pelaburan, usahawan mesti pandai mengira risiko,” kata beliau.

Johari berkata, usaha itu turut membabitkan kemahiran dan pengalaman ZIKAY Group sebagai kontraktor yang bertindak menilai kos serta keperluan pembangunan semula bangunan berkenaan.

Selain itu, katanya, pembukaan hotel berkenaan turut mencatat perkembangan bermakna kepada masyarakat sekitar kawasan Raja Bot kerana mewujudkan sebuah ekosistem ekonomi dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Pada masa sama, Johari berkata, industri perhotelan berkait rapat dengan sektor pelancongan yang menyumbang kira-kira RM300 bilion atau 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 selain mewujudkan kira-kira 3.5 juta peluang pekerjaan.

“Apabila sesebuah hotel itu berada dalam kawasan perniagaan, tahap aktiviti ekonomi di kawasan itu akan turut meningkat manakala keseluruhan ekosistem akan terus berkembang,” kata beliau.

Brisdale International Hotel Kuala Lumpur dibangunkan dan dikendalikan oleh ZIKAY Group menerusi anak syarikatnya, Brisdale International Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan ZIKAY Group, Datuk Mohd Khay Ibrahim, berkata kumpulan itu telah melabur lebih RM100 juta dalam tempoh empat tahun untuk mengambil alih dan membangunkan semula bangunan berkenaan sebagai sebuah hotel moden.

Hotel itu kini menawarkan kemudahan 300 bilik penginapan serta pelbagai fasiliti moden bagi memenuhi keperluan pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Seramai lebih 150 warga kerja kini menggalas amanah tersebut dan hampir keseluruhan daripada mereka adalah rakyat tempatan,” katanya.

Mohd Khay berkata, manfaat kesan ekonomi daripada operasi hotel itu tidak setakat di premis berkenaan sebaliknya turut membabitkan gerai makanan, peniaga di Pasar Raja Bot serta kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Setiap kali sebuah bilik menerima tetamu, sebuah rantaian ekonomi turut bergerak daripada gerai sarapan di hujung jalan dan peniaga di Pasar Raja Bot hinggalah kepada kedai-kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

“Inilah makna sebenar limpahan ekonomi. Ini bukan sekadar istilah yang tercatat dalam laporan tahunan, tetapi rezeki yang mengalir secara langsung ke tangan masyarakat dan peniaga kecil,” katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan lokasinya di Kampung Baru dan dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan awam, kawasan Raja Bot itu juga berpotensi dibangunkan sebagai presint warisan dan perniagaan unik tanpa menghilangkan jiwa serta keasliannya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close