Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan memasang 500 poin pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pusat pentadbiran kerajaan menjelang 2030.
Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata ia sebagai sokongan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar rendah karbon.
Katanya, beberapa lokasi strategik dikenal pasti untuk stesen pengecasan seperti di Laman Perdana, Kompleks PPj, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral dan Kelab Tasik Putrajaya.
“Setakat ini terdapat 23 unit poin pengecasan EV disediakan sebagai kemudahan kepada pengguna di kawasan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Stesen Pengecasan EV di Taman Ekustrian di sini hari ini.
Fadlun berkata, kerjasama dengan syarikat Gentari menunjukkan contoh bagaimana Putrajaya bekerjasamadengan pemain tenaga global bagi membangunkan kemudahan EV kepada penduduk dan pengunjung di pusat kerajaan di sini.
“PPj juga komited untuk mempercepatkan peralihan bandar Putrajaya ke arah masa depan yang mampan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak swasta,” katanya. – BH ONLINE




