Dimensi Bisnes

Geran Sejati MADANI Dorong Wanita Orang Asli Tapah Ceburi Pasaran Kosmetik

Kristina menunjukkan sabun pencuci muka iaitu antara produk kosmetik keluaran komuniti Orang Asli.- Foto BERNAMA
Kristina menunjukkan sabun pencuci muka iaitu antara produk kosmetik keluaran komuniti Orang Asli.- Foto BERNAMA

Nama The Women of Orang Asli Tapah tidak lagi asing bagi komuniti setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semai di Kampung Batu 10, Jalan Pahang, di sini.

Sekumpulan 15 wanita tempatan yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) itu kini membuktikan mereka mampu menjadi pencetus kepada perubahan sosial dan ekonomi menerusi penghasilan produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi.

Kini, kumpulan wanita berusia antara 24 hingga 53 tahun itu berjaya menghasilkan pelbagai produk seperti topeng muka, pelembap bibir, skrub badan, minyak wajah dan minyak wangi menggunakan bahan berasaskan makanan seperti kopi, serbuk kunyit serta bijirin oat yang dipasarkan melalui karnival serta pameran komuniti tempatan.

“Lesen kelulusan dari Unit Kosmetik, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menelan belanja RM18,000, ujian makmal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) RM10,000 dan MyIPO pula sekitar RM6,000. Kesemua keperluan itu diselesaikan hasil bantuan SejaTi MADANI,” katanya.

Kristina berkata, bantuan itu turut digunakan bagi pembelian peralatan asas penghasilan produk seperti ketuhar gelombang mikro dan penimbang, seterusnya meningkatkan kapasiti pengeluaran secara manual.

Antara produk yang dihasilkan adalah Ubtan Soap Bar daripada jintan manis, bijirin oat, serbuk kacang kuda dan cendana serta Koffee Soap Bar yang berasaskan kopi dan Blushy Soap Bar, termasuk produk awal seperti Herbal Charcoal Soap dan Avocado Soap.

 

Sebahagian produk kosmetik yang dipamerkan kepada pengunjung yang datang membuat lawatan di Kampung Batu 10, Jalan Pahang ketika ditemui Bernama baru-baru ini. -Foto BERNAM
Sebahagian produk kosmetik yang dipamerkan kepada pengunjung yang datang membuat lawatan di Kampung Batu 10, Jalan Pahang ketika ditemui Bernama baru-baru ini. -Foto BERNAM

 

Kini, The Women of Orang Asli Tapah merancang untuk menembusi pasaran nasional dan antarabangsa, dengan keyakinan terhadap potensi produk organik dan sokongan berterusan pelbagai agensi termasuk PASAK, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Walaupun pendapatan semasa masih sederhana kerana usaha mereka di fasa penambahbaikan, penjenamaan dan promosi produk, namun Kristina menegaskan perubahan positif sudah dapat dilihat.

“Sebelum ini, ramai dalam kalangan kumpulan ini adalah suri rumah tanpa pendapatan tetap. Kini ada yang mampu menerima bayaran sekitar RM300 hingga RM500 sebulan hasil jualan produk,” katanya.

Program SejaTi MADANI adalah antara pengisian kepada kerangka Ekonomi MADANI yang berfokuskan kesejahteraan rakyat terutama dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar.

Inisiatif itu bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak dengan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close