Dimensi Bisnes

Bank Masih Mampu Tawar Moratorium

Sektor perbankan masih mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk terus melaksanakan moratorium bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua.

Penganalisis ekonomi BIMB Securities Sdn Bhd, Imran Nurginias Ibrahim, berkata bank mempunyai kapasiti yang lebih daripada mencukupi untuk menawarkan moratorium kepada pelanggannya.

Katanya, ia berdasarkan prestasi kewangan sembilan bulan bank pasca moratorium, yang menyaksikan keuntungan bank hanya terkesan antara 15 hingga 20 peratus bergantung kepada saiz masing-masing.

“Saya fikir, keuntungan bank terjejas disebabkan oleh kemelesetan ekonomi, bukannya disebabkan oleh moratorium.

“Bank sudah memberi petunjuk yang kesan moratorium akan ditimbal balik menerusi pemberian dividen lebih rendah tahun ini. Ia bagi menampan impak struktur modal peringkat satu.

“Bank juga kini mempunyai modal mencukupi, tambahan pula moratorium adalah penangguhan bayaran, maka ia akan diambil kira juga kemudian,” katanya.

Kerajaan melaksanakan PKP kali kedua selama 14 hari di enam negeri bermula Rabu lalu membabitkan enam negeri.

Selain itu PKP Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak pula di bawah PKP Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Kerajaan melaksanakan moratorium automatik selama enam bulan bermula April tahun lalu susulan pelaksanaan PKP kali pertama pada 18 Mac 2020 bagi membantu rakyat dan peniaga yang terkesan.

Bantuan itu kemudian dilanjutkan kepada moratorium bersasar, yang mana hanya peminjam terkesan ditawarkan penangguhan pinjaman.

Mengulas lanjut, Imran bekata, bank bagaimanapun dijangka tidak menawarkan moratorium secara sukarela seperti sebelum ini.

“Moratorium pinjaman dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang termasuk dalam Belanjawan 2021 mungkin boleh diubah suai untuk menampung kesan PKP baharu ini, terutama jika ia dilanjutkan melebihi dua minggu,” katanya.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut sependapat dengan berkata bahawa kedudukan kewangan bank adalah kukuh untuk melaksanakan moratorium.

“Bagi saya ia bukan masalah keupayaan kerana kedudukan kewangan bank adalah kukuh. Soalnya siapakah yang betul-betul memerlukan moratorium.

“Justeru, apa jua bentuk bantuan termasuk moratorium ia sebaiknya adalah bersasar kerana kita tidak mahu membazir. Bagi mereka yang tidak memerlukan moratorium, ia satu kerugian sekiranya mereka menangguh bayaran kerana hutang itu akan lambat diselesaikan.

“Peminjam seharusnya berusaha utk membebaskan diri mereka daripada hutang dengan secepat mungkin supaya boleh membuat simpanan dan pelaburan serta memastikan sentiasa mempunyai wang kecemasan,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close