Dimensi BisnesPilihan Editor

Industri Media Catat Pertumbuhan Luar Jangkaan

Sektor media merekodkan peningkatan perbelanjaan pengiklanan sepanjang sembilan bulan 2022 sebanyak 12.3 peratus.

Penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli, berkata angka itu melonjak sedikit melebihi jangkaan kerana momentum daripada pembukaan ekonomi berterusan sehingga ke suku ketiga 2022.

“Segmen digital, radio dan akhbar adalah pemacu utama pertumbuhan apabila radio terus pulih dengan kukuh disebabkan penarikan sekatan pandemik manakala segmen digital mengekalkan pertumbuhan yang berdaya tahan.

“Perbelanjaan pengiklanan akhbar melebihi jangkaan kami kerana separuh pertama lebih kukuh dengan jumlah dan pertumbuhan yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dari segi prestasi oleh saluran utama, beliau berkata segmen televisyen tidak berbayar (FTA) kekal mendatar.

Segmen digital, katanya terus berkembang dengan berdaya tahan, meningkat 41.3 peratus kerana pengiklan terus tertarik melabur dalam platform itu.

“Perbelanjaan pengiklanan bagi radio mengekalkan aliran meningkat, berkembang 29.8 peratus kerana segmen itu terus mendapat manfaat daripada sekatan pergerakan yang ditarik balik dan peningkatan pemandu di jalan raya. Perbelanjaan pengiklanan akhbar mengatasi jangkaan apabila segmen itu berkembang 18.3 peratus.

“Separuh pertama 2022, perbelanjaan pengiklanan akhbar menyaksikan lonjakan lebih besar daripada jangkaan dan kami percaya segmen itu mendapat manfaat sama seperti radio daripada pemansuhan sekatan pandemik,” katanya.

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor media, kata Ahmad Ramzani.

“Kami terus menyukai (saham) Media Prima berikutan pendekatan bersepadunya kepada iklan menerusi Omnia, yang dipercayai menawarkan sasaran dan skala demografi lebih baik, usaha penyatuan kos berkesan yang dijangka berterusan dan kedudukannya yang mantap untuk memanfaatkan pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan merentasi pelbagai platform, bersandarkan kepada prestasinya setakat ini,” katanya.

Secara keseluruhan, Kenanga Research menaikkan unjuran pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan bagi 2022 kepada 11.8 peratus, berbanding 10.9 peratus sebelum ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close