Malaysia akan menyesuaikan diri dan melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi dalam mendepani cabaran tarif global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan ‘angin mungkin beralih tetapi Malaysia tidak hanyut’, malah strategi kepelbagaian perdagangan negara sudah semakin meningkat.
Walaupun Malaysia berhasrat kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan Amerika Syarikat (AS), katanya, negara ini akan seiring melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi.
Beliau berkata, ia termasuk membabitkan diri secara proaktif dengan AS ke arah mencapai hasil saling menguntungkan dan pada masa sama, mempelbagai serta mengukuhkan hubungan Malaysia dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Asia Barat dan Afrika.
“Meskipun ruang untuk mengkaji semula hasrat asal mungkin terhad, masih terdapat peluang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar itu,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, di sini, hari ini.
Persidangan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) Ke-12 yang dijadualkan bermula 7 hingga 10 April ini.
Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia, dengan sokongan rakan kongsi, melancarkan Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Ringkas ASEAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, ia adalah alat praktikal untuk membantu perniagaan kecil mengambil langkah pertama ke arah operasi lebih mampan dan telus.
Katanya, ia memandangkan PKS – yang membentuk sebahagian besar asas pekerjaan – sering terdedah kepada kejutan dan paling kurang bersedia untuk bertindak balas.
Kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri-menteri Kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, pegawai institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta akan menghadiri AFMGM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Selain mesyuarat tertutup, terdapat juga persidangan perniagaan, pameran, mesyuarat tiga hala dan mesyuarat di luar acara dengan rakan dialog membabitkan China, Jepun serta Korea Selatan.