Governans

Eksport Kayu Malaysia Meningkat 8.9 Peratus, Produk Diiktiraf Dunia – Johari Ghani

Eksport kayu menunjukkan perkembangan positif, meningkat sebanyak 8.9 peratus dari Januari hingga Ogos 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pertumbuhan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran kayu global, dengan perabot kayu menjadi produk eksport terbesar.

Beliau berkata, ‘Ekspo Kayu Malaysia’ (MWE) kali ini bersedia menjadi platform utama untuk mempamerkan kepakaran dan kualiti hasil kerja tangan Malaysia yang sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Menganjurkan program ini pada 2025 amat bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ia membolehkan MWE memainkan peranan lebih menonjol untuk menghubungkan perniagaan berasaskan kayu di ASEAN serta mendorong inovasi dan kerjasama.

“Kini, pengguna di seluruh dunia semakin menuntut produk yang dihasilkan secara lestari. Begitu juga, Malaysia komited sepenuhnya terhadap agenda kelestarian global dengan berjanji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah negara di bawah litupan hutan,” katanya semasa Majlis Pelancaran MWE 2025, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Chan Foong Hin.

“Industri kini mencari penyelesaian yang menggabungkan ketahanan dengan pematuhan terhadap alam sekitar. Oleh itu, pengurusan hutan secara lestari akan memainkan peranan penting dalam menyediakan produk kayu mesra alam.

“Sehingga Oktober 2024, sebanyak 40 Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang meliputi kawasan seluas 6.52 juta hektar telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), manakala sebanyak 370 syarikat kayu telah dianugerahkan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC), yang melayakkan mereka mempamerkan logo Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) apabila mengeksport produk kayu yang diperakui MTCS,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin berkata, MWE 2025 menyasarkan angka jualan antara RM150 hingga RM200 juta, dengan sasaran pertumbuhan dua angka yang konservatif.

“Sasaran ini ditetapkan selepas prestasi kukuh tahun lalu, yang mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM320.78 juta, hasil gabungan dua tahun,” katanya.

MWE 2025 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, menandakan satu lagi pencapaian penting bagi industri kayu di rantau ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close