Malaysia

PARLIMEN: RM400 Juta Peruntukan Persediaan Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026

Sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk persediaan ke arah penganjuran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pihaknya menerima peruntukan RM1.4 bilion untuk 2025 daripada Kementerian Kewangan yang mana RM1.1 bilion untuk belanja mengurus, manakala RM229 juta lagi untuk bajet pembangunan.

“Belanja mengurus ini akan diguna pakai bagi tujuan pembayaran emolumen berjumlah RM102,422,700; Perkhidmatan dan Bekalan (RM467 juta); Aset (RM3.7 juta); Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM615 juta) dan Perbelanjaan-perbelanjaan lain (RM2.8 juta).

“Di bawah bajet pembangunan, terdapat tiga perbelanjaan ditetapkan iaitu Perkhidmatan dan Bekalan (RM9.1 juta); Aset (RM115 juta) dan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM105 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, Bajet 2025 diharapkan menjadi pemacu kepada visi Kementerian iaitu ‘Malaysia – Destinasi Lestari Kaya Budaya’.

“MOTAC akan memberi penekanan kepada tiga prestasi keberhasilan iaitu sumbangan sektor pelancongan dan kebudayaan kepada ekonomi negara yang signifikan.

“Keberhasilan kedua adalah seni budaya dan warisan yang lestari; dan ketiga, industri pelancongan serta kebudayaan yang berdaya saing,” katanya.

Menyentuh soal projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal, Khairul Firdaus berkata, MOTAC akan mengenal pasti kaedah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek sambungan dan memastikan projek baharu dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Kementerian ini komited untuk memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan khusus supaya faedahnya dapat dinikmati oleh semua golongan rakyat,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close