MalaysiaPilihan Editor

GLC Bantu Kemajuan Ekonomi Negara Termasuk Menangani Isu KKP – Kata Menteri Sumber Manusia

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

“Peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam membantu kemajuan ekonomi negara telah menampakkan impak yang sangat signifikan dan ini termasuk sumbangan GLC dalam menangani isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP),” kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Bercakap pada majlis Pelancaran Persidangan Kemuncak bagi KKP bersama GLC OSH Summit, beliau menyifatkan GLC diibaratkan sayap kanan Kerajaan dan merupakan pemacu utama bagi memastikan peningkatan tahap KKP Negara melalui pelbagai kaedah dan pendekatan untuk menyemai, menerap dan mengamalkan Budaya Pencegahan di tempat kerja.

Katanya, memperkasakan pengurusan KKP dalam kalangan GLC bukan sahaja dapat menjamin keselamatan dan kesihatan semua pekerja GLC tetapi juga akan menjadi contoh kepada pihak industri.

“Dalam konteks ini, GLC dilihat sebagai suri teladan atau ‘role model’ dalam kalangan pemain industri dan masyarakat,’ ujar Sivakumar.

Sehubungan dengan itu, tema GLC OSH Summit yang julung kali diadakan ini adalah mengikut tema Pelan Induk KKP 2021-2025 atau dikenali sebagai OSHMP25 iaitu KKP Inklusif: Kebersamaan dan Komitmen.

Ini selari dengan semangat kerjasama yang merupakan prinsip dalam memastikan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi mencapai tahap yang jauh lebih baik daripada standard yang ditetapkan.

Dalam hal ini, kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan hala tuju strategik dan dinamik untuk menyemarakkan ekonomi negara dan ini termasuk melindungi sumber manusia dan memastikan kesejahteraan modal insan, yang merupakan aset penting dalam menjayakan program pembangunan negara termasuk merealisasikan matlamat Malaysia Madani.

GLC OSH Summit yang diadakan kali ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2023 atau sinonimnya World OSH Day 2023 yang telah dilancarkan pada 28 April yang lalu.

Setiap tahun, tanggal 28 April ini, telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai World OSH Day bertujuan mengenang kembali dan menghargai pekerja yang terlibat dengan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Pada tahun ini, tema sambutan adalah “Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi” atau dalam bahasa Inggerisnya “A Safe and Healthy Working Environment – A Fundamental Right”.

Konsep yang diperkenalkan oleh ILO pada tahun ini adalah seiring dengan usaha kerajaan yang sentiasa mencari kaedah terbaik dan holistik bagi melindungi semua pekerja terutama sewaktu bekerja di tempat kerja masing-masing.

Menteri Sumber Manusia juga berkata, hasil pengamalan budaya kerja yang selamat dan sihat ini telah menampakkan perubahan yang signifikan.

Pada tahun 2021 sebanyak 21,534 kes kecedaran pekerjaan telah direkodkan di seluruh Malaysia, di mana 301 daripadanya adalah kes maut. Ini menjadikan kadar kecederaan pekerjaan di Malaysia pada tahun 2021, ialah 1.43 bagi setiap seribu pekerja, iaitu penurunan sebanyak 34% berbanding tahun 2020.

Manakala, kadar kecederaan maut pekerjaan pula berkurang sebanyak 4%, iaitu 2.00 setiap 100,000 pekerja berbanding 2.09 pada tahun sebelumnya. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close