MalaysiaTurun Naik

Sisi Luar Biasa Yang di-Pertuan Agong – Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda

Tanggal 8 Jun menjadi catatan sejarah terbaharu apabila Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diisytiharkan sebagai cuti pelepasan am berbanding 6 Jun pada tahun-tahun sebelum ini.

Seperti biasa, pengumuman cuti umum tetap menjadi perkara yang dinantikan rakyat Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang Dipertuan Agong pada 31 Jan 2019 dan dirgahayu tuanku telah menginjak ke 1 tahun 5 bulan yang menyaksikan pemerintahan Seri Paduka selaku Ketua Perlembagaan membawa kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Krisis politik yang melanda negara sebelum ini semasa seluruh dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19 berjaya memperlihatkan kebijaksanaan dan diplomasi Seri Paduka demi menjunjung keluhuran perlembagaan dan membolehkan peralihan kuasa kepada Perdana Menteri baharu dapat dilaksanakan secara berhikmah.

Sisi lain

Terdapat sisi luar biasa Yang di-Pertuan Agong di mana rakyat marhaen tetap berada di hati Seri Paduka.

Ramai maklum bahawa Seri Paduka sanggup mengetetepikan protokol diraja dan tidak kekok untuk beratur bersama rakyat termasuk ketika beratur membeli makanan segera dan membayar hidangan yang turut dibeli mereka di sebuah restoran di Temerloh, Pahang.

Seri Paduka yang berjiwa rakyat juga sentiasa menyantuni mangsa nahas kemalangan kereta yang ditemui baginda dengan memberikan kata-kata positif dan mengambil tindakan pantas dengan menitahkan pegawai untuk menghubungi polis tanpa menghiraukan hujan renyai ketika itu.

Sikap menyayangi rakyat terus membumi di jiwa Seri Paduka dan memperlihatkan sisi lain hebat baginda.

Sikap peramah dan mudah mesra Seri Paduka diakui Pegawai Khas dan Protokol Diraja Datuk Abd Rahman Endut sehinggakan baginda suka mengusik orang-orang rapat di sekeliling baginda termasuk kakitangan veteran baginda.

Sikap tidak cerewet Seri Paduka membuatkan baginda disenangi sehinggakan boleh bersantap juadah tandori dan burger yang dibeli Abd Rahman ketika dititah oleh Paduka Al-Marhum Sultan Ahmad Shah semasa menguruskan persekolahan baginda di London pada 1970-an.

Oleh yang demikian, tidak dinafikan sikap tidak cerewet ini membuatkan Seri Paduka sangat menggemari juadah air tangan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang terkenal dengan ketokohan dalam bidang masakan.

Dalam pada itu, keperibadian Seri Paduka yang mengagumkan turut diakui oleh bekas guru matematik dan jurulatih polo Arunandy Subramaniam ketika Seri Paduka menuntut ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Saint Thomas, Kuantan, Pahang dari 1970 hingga 1974.

Peribadi luhur Seri Paduka seperti merendah diri, berbudi bahasa dan menghormati orang lain malah baginda masih lagi berhubung rapat dengan bekas gurunya sehingga kini.

Selain itu, Seri Paduka juga mahir bersukan dan sosok hebat ini pernah menggalas posisi penyerang bagi sukan bola sepak dan hoki.

Justeru, tidak hairanlah Seri Paduka Baginda berjaya memikul amanah sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2014 hingga 2017.

Raja dan rakyat berpisah tiada

Konsep ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ sentiasa diadapatasi oleh Sultan Abdullah khususnya dalam menyantuni para petugas barisan hadapan yang berjuang menentang pandemik COVID-19 dengan meluangkan masa untuk bersolidariti bersama mereka pada sebelah malam.

Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas, Seri Paduka berdua terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari berikutan seorang petugas istana disahkan positif COVID-19.

Ketika krisis politik sebelum ini, para wartawan yang berkampung di pagar Istana Negara telah disantuni oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang mengedarkan makanan kepada mereka.

Setiap hari, wartawan dapat menikmati menu makanan berlainan daripada Seri Paduka yang menghargai masa dan tenaga mereka dalam membuat liputan politik semasa kepada massa.

Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong menunjukkan tanda penghargaan Seri Paduka kepada kerjaya wartawan yang menjadi ‘frontliners’ kepada rakyat dalam menyalurkan maklumat yang tepat, terkini dan telus.

Justeru, marilah kita sebagai rakyat Malaysia di dalam dan luar negara sama-sama memanjatkan doa agar Yang di-Pertuan Agong sentiasa diberikan kesihatan terbaik oleh Allah SWT untuk memayungi rakyat dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan mengikut lunas-lunas demokrasi. Dirgahayu Tuanku! -BERNAMA

Prof. Madya Dr. Mohammad Najib Jaffar

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close