MalaysiaPilihan Editor

Kesepaduan Sosial, Integrasi Nasional Dan Perpaduan Kaum Kunci Kemakmuran Negara – Agong

Kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tiga perkara itu juga adalah kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa juga cabaran yang akan datang, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

“Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah dikecapi selama ini, malah berusaha menyemarakkannya sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Seri Paduka berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci itu, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap `musuh dalam selimut’ yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara kerana segala fitnah dan hasutan mereka bercanggah dengan prinsip Rukun Negara yang juga kunci kepada keharmonian dan perpaduan kukuh.

“Justeru, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan lebih enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini, nescaya rakyat akan dapat menghayati dan menghargai nilai semangat patriotisme kepada negara dan perpaduan sesama pelbagai bangsa,” katanya.

Mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesyukuran kerana perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga mendoakan agar Malaysia terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT serta terus dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close