Duniaku TeknokratPoster Grafik

Khazanah Nasional Catat Keuntungan Operasi RM1.6 Bilion

Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2022, disumbangkan aktiviti pengewangan dan kemerosotan nilai yang lebih rendah dalam portfolio pelaburannya.

Keuntungan operasi Khazanah Nasional adalah jauh lebih tinggi berbanding RM670 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dikaji, Khazanah Nasional menyuntik sejumlah RM6.6 bilion pelaburan baharu dan RM2.5 bilion penjanaan hasil daripada aset.

Meskipun meraih keuntungan operasi lebih tinggi, hutang Khazanah Nasional bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM49.1 bilion berbanding RM48.5 bilion tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.7 kali dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka panjang antara 3.0 kali hingga 4.0 kali.

Nilai Aset Bersih (NAV) sayap pelaburan kerajaan itu menyaksikan penurunan sebanyak lima peratus kepada RM81 bilion pada tahun dikaji daripada RM86 bilion pada 2021 disebabkan oleh aliran menurun pasaran global.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata sayap pelaburan kerajaan itu memberi tumpuan kepada pembinaan pulangan kewangan jangka panjang dan meneruskan pengimbangan semula portfolio ke arah sasaran peruntukan aset strategik dengan pelaburan ke dalam ekuiti awam, ekuiti swasta dan aset nyata.

“Meskipun keadaan pasaran yang mencabar di peringkat global, kami mencapai prestasi yang baik pada tahun penuh pertama pelaksanaan strategi baharu kami. Mandat pembangunan negara kami untuk menyampaikan nilai kemampanan jangka panjang kekal tidak berubah dan kami akan terus mengharungi ketidaktentuan pasaran jangka pendek serta kekal fokus pada matlamat jangka panjang.

“Terdapat kebimbangan berterusan bahawa persekitaran inflasi dan keadaan pengetatan monetari akan membawa kepada kemelesetan global, diburukkan lagi dengan risiko geopolitik berterusan.

“Bagaimanapun, pendekatan pelaburan Khazanah yang berdisiplin, yang dipandu oleh Peruntukan Aset Strategik (SAA) jangka panjang dan pengurusan portfolio aktif membantu kami mengharungi ketidaktentuan dalam pasaran, di samping pengekalan disiplin dalam usaha penciptaan nilai dan penjanaan hasil,” katanya pada taklimat media prestasi tahunan Khazanah Nasional di sini, hari ini.

 

Amirul Feisal pada taklimat media prestasi tahunan Khazanah Nasional di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Genes Gulitah
Amirul Feisal pada taklimat media prestasi tahunan Khazanah Nasional di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Genes Gulitah

 

Amirul Feisal berkata, 2022 menjadi tahun pertama di mana Khazanah Nasional melaksanakan strategi dan pendekatan yang diberi nafas baharu, berpaksikan tema Memajukan Malaysia, dengan matlamat untuk menyampaikan nilai mampan kepada rakyat Malaysia.

Katanya, ia termasuk menjadi peserta korporat yang aktif dalam memacu prestasi terbaik oleh syarikat pelaburannya, ‘crowd-in’ pelaburan swasta yang baharu, mengembangkan nilai portfolio secara global merentas pelbagai kelas aset dan memudahkan aliran pengetahuan, rangkaian dan peluang pelaburan ke Malaysia.

“Khazanah terus melangkah ke hadapan dalam penciptaan dan perolehan nilai, memangkin pelaburan terpilih dan berjaya melaksanakan rancangan penciptaan nilai untuk aset Malaysia seperti tawaran awam permulaan (IPO) Farm Fresh Bhd yang berjaya di Bursa Malaysia dan IPO terbesar pada 2022.

“Selain itu, perkongsian strategik dengan SK ecoplant Korea Selatan untuk mempercepatkan pertumbuhan Cenviro Sdn Bhd sebagai juara pengurusan sisa serantau, dan penggabungan Celcom-Digi yang akan meningkatkan keupayaan untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang inovatif dan meningkatkan ketersambungan digital,” katanya.

Berdasarkan prestasi kewangan 2022, Khazanah Nasional mengisytiharkan dividen RM500 juta bagi 2022 kepada kerajaan, dengan RM17.1 bilion dividen secara kumulatif telah diisytiharkan sejak 2004.

Mengulas mengenai kadar dividen yang lebih rendah berbanding RM2 bilion masing-masing pada 2020 dan 2021, Amirul Feisal berkata, pembayaran tinggi pada dua tahun sebelum ini adalah langkah Khazanah Nasional untuk menyokong keperluan fiskal negara selepas terjejas akibat COVID-19.

“Ketika ini, pasaran tidak menentu dan pada masa sama dengan mengurangkan kadar dividen kepada kerajaan, ia membolehkan kami menggunakannya sebahagiannya untuk ekuiti modal.

“Untuk dividen tahun ini, kami perlu melihat keseluruhan proses sebelum memutuskan,” katanya.

Menuju ke hadapan, beliau menjelaskan, 2023 menjadi satu lagi tahun yang mencabar dengan jangkaan pertumbuhan global yang perlahan berikutan peralihan dasar monetari bagi menangani inflasi dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

Katanya, Khazanah Nasional akan terus berwaspada dalam aktiviti pelaburannya dengan matlamat untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian.

“Di sebalik ketidaktentuan, Kami kekal optimistik dalam mengenal pasti peluang pelaburan dalam arah trend global baharu muncul iaitu perubahan struktur terhadap sistem global multipolar dan cabaran perubahan iklim yang meningkat, peralihan tenaga dan kemampanan.

“Khazanah Nasional kekal komited dalam peranannya sebagai pengurus aktif dan pemegang saham syarikat portfolio di Malaysia bagi menjana prestasi, penciptaan nilai dan nilai pemegang saham jangka panjang.

“Kami juga akan meneruskan usaha untuk membangunkan bidang pertumbuhan baharu dan ekosistem melalui Dana Impak,” katanya.

Bagi Dana Impak, projek bernilai RM500 juta dikenal pasti merentasi pelbagai bidang impak, yang bertujuan untuk membina daya tahan negara dan peluang pertumbuhan baharu.

Bidang utama termasuk agrimakanan dan peningkatan kemahiran digital modal insan serta komitmen dalam menyokong usahawan dan ekosistem modal teroka (VC). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close