MalaysiaPilihan Editor

Kos Haji Tahun Ini Dijangka Cecah Lebih RM25,000 Seorang

Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan kos berkenaan adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

“Peningkatan 12 peratus ini mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

“Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

“Kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina, serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

“Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan VAT serta kadar inflasi di sana,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan TH menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang mencecah RM60 juta setiap tahun meliputi kos bagi kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas haji.

Lembaga itu juga mengingatkan bakal haji supaya membuat persediaan awal dari segi kesihatan serta perbelanjaan haji, meskipun ketika ini kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi tahun ini.

“Walaupun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi,” menurut kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata kos haji meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan. Namun, setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama,” kata

“TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun.

“Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16 peratus, manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139 peratus disebabkan faktor luar kawalan TH. Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close