Pilihan EditorTwo Cents

RUU ANTILOMPAT PARTI 2022; Adakah Pengundi Ada Hak Menyaman Ahli Parlimen ?

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

 

PERSOALAN pertama dalam kalangan rakyat terutama pengundi menerusi Rang Undang-Undang Antilompat Parti 2022 ialah adakah pengundi mempunyai hak untuk menyaman Ahli Parlimen yang melompat parti politik ?

Ini adalah persoalan yang sangat besar berlegar-legar di minda pengundi yang jelas inginkan sesuatu yang konkrit dalam pembentangan Rang Undang-Undang Antilompat Parti 2022 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 11 April ini.

Gejala politik yang lompat melompat termasuk mengosongkan kerusi parlimen tanpa sebab ini telah menyebabkan hilang keyakinan daripada pengundi sendiri.

Memang sebelum ini, ada parti politik yang ditinggalkan telah memfailkan saman terhadap bekas Ahli Parlimen mereka bagi menuntut ganti rugi kerana didakwa melanggar kontrak, amanah dan mendapat kekayaan yang tidak sepatutnya.

Kalau ikutkan undang-undang sivil, rakyat ada hak untuk menyaman sesiapa pun andainya difikirkan diri itu teraniaya, ditipu serta tidak bertanggungjawab, mungkir janji dan tidak amanah daripada wakil rakyat yang dipilih.

Namun ini bukan setakat soal semata-mata perihal Ahli Parlimen yang belot, boikot, tidak setia, mempunyai agenda tertentu dan kepentingan diri sendiri, tetapi di bawah Perlembagaan Persekutuan, pengundi juga mempunyai hak yang kukuh memainkan peranan besar dalam menyuburkan dan menggerakkan sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan.

Dalam hal ini, pengundi tertanya-tanya adakah di pihak pemerintah telah ada menggariskan dalam draf akhir rang undang-undang ini yang memberi kuasa undang-undang selepas diluluskan kelak bahawa pengundi mempunyai hak untuk menyaman Ahli Parlimen yang jelas telah mengkhianati pengundi yang mengundi wakil rakyat di kawasan parlimen masing-masing.

Apakah akan ada usaha-usaha untuk memasukkan hukuman sewajarnya di bawah fasal-fasal rang undang-undang baharu ini terutama untuk menyaman Ahli Parlimen yang dilihat ada rasional dan sangat wajar sekali ?

Ini kerana menerusi pilihan raya adalah merupakan medan bagi rakyat memberi keabsahan kepada sekelompok individu iaitu wakil rakyat diberikan mandat untuk membawa suara rakyat dan memerintah negara berdasarkan bentuk pemerintahan yang telah dipersetujui.

Perkara ini sangat penting kerana wakil rakyat yang telah menang perlu menyedari akan kecelikkan pengundi yang inginkan kepada pembaharuan demokrasi bahawa mereka ini telah menunjukkan satu komitmen yang tinggi, meletakkan satu harapan, satu integriti, satu suara, satu kuasa dan satu mandat kepada wakil rakyat mereka.

Suara wakil rakyat yang telah dimenangkan oleh pengundi sangat penting untuk diangkatkan ke Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara.

Ironinya adakah sangat wajar pengundi dikhianati begitu sahaja apabila melihat wakil rakyat mengumumkan untuk keluar parti, tidak kiralah melompat ke parti lain atau mengisytiharkan sebagai Ahli Parlimen bebas.

Malahan ada kes Ahli Parlimen yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memberi laluan kepada ahli politik yang lain sehingga menyebabkan berlaku pilihan raya kecil.

Adakah justifikasi sebegini diambil kira dalam rang undang-undang baharu ini ? Persoalannya adakah adil kepada pengundi serta situasi sedemikan telah membawa kepada kos tambahan kepada pihak berwajib untuk mengadakan semula pilihan raya ?

Sebenarnya pengundi sangat terkesan dengan peristiwa peralihan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Seolah-olah ditikam dari belakang, seolah-olah dihina tanpa perikemanusiaan dan pengundi dianggap tidak penting dalam memenangkan wakil rakyat yang dipilih atas pelbagai sebab dan faktor.

Harus diingat rakyat semakin berani sekarang untuk mengubah persepsi mereka terhadap mana-mana calon Ahli Parlimen termasuklah menolak parti politik yang menerima kelompok yang melompat di sana sini, kononnya demi kestabilan politik negara, demi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata.

Pengundi tidak bodoh ! Sejak 2018, seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti.

Akibat tindakan melompat parti itu juga telah membawa kepada ketidakstabilan politik malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal parlimen.

Terus terang dalam kalangan rakyat berkehendakkan sebuah kerajaan yang stabil bagi mengusahakan pemulihan ekonomi negara sesegera yang boleh serta mengembalikan tahap kesejahteraan kesihatan awam negara sejak tsunami COVID-19 melanda dunia menghampiri tiga tahun ini.

Menerusi rang undang-undang ini, sedikit sebanyak perlu diingatkan terutama kepada Ahli Parlimen sedia ada atau bakal calon Ahli Parlimen bahawa pengundi adalah pemegang kuasa.

Suis kunci kuasa terletak di tangan pengundi terutama dalam PRU-15 kelak serta pilihan raya seterusnya.

Situasi sekarang ialah pengundi lebih mementingkan pembangunan nyata yang dijanjikan oleh pemerintah. Lihat sahaja di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor baharu-baharu ini, ia adalah mesej jelas daripada pengundi.

Ini selari dengan pandangan sarjana Barat J Colemen dalam bukunya “Foundations of Social Theory” yang mana pengundi boleh membuat pilihan rasional, matlamat dan membawa kepada proses pemilihan berkaitan dengan perkiraan ekonomi, pentadbiran dan pembangunan yang mapan.

Agak menarik Teori Identifikasi diperkenalkan Angus Campbell, dalam bukunya “The American Voter” yang menekan pengundi juga mengundi berasaskan kepada ikatan dan kesetiaan terhadap sesuatu parti, namun ikatan pengundi terhadap sesuatu parti tidak bersifat mutlak dan boleh berubah berdasarkan faktor calon dan isu.

Ini bermakna tingkah laku pengundi menjadi asas untuk memahami kehendak rakyat seterusnya menjelaskan persoalan sebab-sebab seseorang mengundi dan faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan undi menerusi wakil rakyat yang dipilih.

Ahli Parlimen yang telah menang wajar mengambil kira bagi memahami tingkah laku pengundi yang perlu dihormati dan sangat kompleks ini.

Andainya setiap wakil rakyat menjiwai akan keikhlasan, kejujuran dan kerelaan pengundi yang keluar mengundi berdasarkan fakta yang mana menurut dalam buku “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia; Tanding, Pilih, Menang & Tadbir”, setiap rakyat yang telah berdaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya, setiap pengundi berhak memperoleh sekurang-kurangnya satu kertas undi (bergantung sama ada pilihan raya kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kedua-duanya sekali) dan pengundi tidak boleh dihalang daripada menunaikan tanggungjawab mereka.

Di samping itu, pengundi tidak boleh dihalang daripada memasuki pusat pengundian, majikan perlu membenarkan pekerja mereka untuk mengundi sama ada dengan memberi cuti atau pelepasan waktu untuk mengundi, pengundi yang cacat atau kurang berupaya berhak mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh Suruhanyaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengundi, tidak siapa pun boleh memaksa kepada siapa seseorang pengundi harus mengundi serta banyak lagi kuasa.

Ini bermakna wakil rakyat yang faham akan hak sebagai seorang pengundi, sudah tentu perkara yang berkaitan isu lompal parti ini tidak timbul sama sekali.

Tetapi perkara itu masih lagi tidak difahami dalam kalangan ahli politik dan parti yang diwakili mereka sehingga memaksa satu ikatan undang-undang perlu dilaksanakan dalam membendung isu sosial politik ini.

Yang nyata, sejarah bakal dicipta untuk kemenangan pengundi dan rakyat sebenarnya sebaik Rang Undang-Undang Antilompat Parti 2022 diluluskan di Parlimen. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

  • Penulis ialah mantan Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan mantan Pegawai Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam institusi keparlimenan.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close