Two Cents

Sesudah Grab Meninggalkan Malaysia Untuk Singapura

Oleh LEE CHEAN CHUNG

 

Susulan rancangan sebuah platfom e-hailing dan penghantaran makanan terbesar di Asia Tengara untuk disenaraikan bursa saham AS – dengan harga pasarannya yang mungkin mencecah AS$40 bilion (RM160 bilion), saya menyeru agar kerajaan meneliti semula punca utama mengapa syarikat itu yang asalnya ditubuhkan di Malaysia akhirnya bertapak di Singapura.

Kebanyakan negara asing berpendapat Grab Holdings Inc (Grab) merupakan syarikat Singapura.

Namun hakikatnya ialah, pada permulaannya Grab beroperasi di Malaysia dengan menggunakan nama perniagaan lain iaitu MyTeksi.

Namun, ibu pejabatnya berpindah ke Singapura sejak 2014.

Kenapa kerajaan Malaysia gagal mempertahankan atau mengekalkan syarikat berteknologi yang berjaya di Asia Tenggara itu pada peringkat awalnya?

Singapura pula memberikan insentif dan diskaun dari segi cukai serta lebih mampu menarik modal antarabangsa.

Saya beranggapan kegagalan Malaysia untuk membentuk dan membangunkan syarikat teknologi Unicorn ini (umumnya disebut sebagai syarikat yang bernilai lebih daripada AS$1bilion) merupakan tamparan besar dan kegagalan untuk negara kita.

MyTeksi (nama asal Grab) merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh warganegara Malaysia pada 2012.

Beri laporan terperinci

Malahan nama perniagaan tersebut mempunyai tanda Malaysia (MY) tetapi ia berpindah ke Singapura selepas dua tahun penubuhannya.

Ia menimbulkan keraguan orang awam terhadap keupayaan dua kementerian Malaysia iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merangka perkembangan ekonomi dan penggubalan dasar yang sesuai.

Sehingga kini kerajaan masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan dengan kehilangan atau kerugian tersebut kepada orang awam.

Yang meragukan juga ialah, adakah kita akan mengakui kesilapan kita dan mengambil pelajaran terhadap insiden ini?

Negara kita bukan sahaja kehilangan syarikat Grab, malahan pengasas dan pengerusi syarikat tersebut, Anthony Tan, juga menjadi warganegara Singapura pada 2016.

Ia merupakan tamparan hebat buat organisasi yang sering bekerja keras untuk menarik warganegara Malaysia berbakat agar kembali berkhidmat di negara ini, seperti Talent Corp.

Jika kita gagal mengekalkan syarikat dan bakat yang berjaya di Malaysia, bagaimanakah negara kita dapat memperolehi modal dan bakat lagi?

Saya mendesak kerajaan Perikatan Nasional memberikan laporan terperinci berkenaan dengan kes ini, dan juga melakukan tinjauan komprehensif serta penambahbaikan untuk menarik pelaburan asing, menarik bakat, mekanisme inkubasi, ekosistem modal teroka dan dasar teknologi kita.

Alasan yang paling senang digunakan oleh kerajaan sebelum ini ialah menyalahkan bakat-bakat tidak bersikap patriotik dan memainkan sentimen perkauman.

Persaingan disebabkan faktor globalisasi hanya akan bertambah sengit dan dunia tidak akan memberi kita sebarang ruang untuk kelalaian dan saling menyalahi.

Rakyat Malaysia perlu bersatu dan bekerjasama untuk menjadi lebih kompetitif serta membangun pada masa pandemik Covid-19 ini.

Persoalannya, adalah kerajaan kita sudah bersiap sedia dari segi fikiran dan tindakan mereka? – MALAYSIAKINI

 

  • Penulis ialah ialah bendahari agung PKR dan Adun Semambu, Pahang.

    [Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini mahupun BacalahMalaysia.my]

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close