Malaysia bersedia untuk menjadi pemain industri terbesar dalam pembekalan minyak sawit di Asia Tengah, khususnya Pakistan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata beliau menerima banyak pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri di negara itu yang mahu melihat Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat pada masa hadapan.
Katanya, penggiat industri mahu Malaysia menjadi pembekal kepada bukan sahaja di Pakistan, malah di Asia Tengah dengan negara itu menjadi hab untuk eksport produk sawit di rantau itu.
“Saya baru sahaja habis berdialog dengan pemain industri tulen di Pakistan yang bertanggungjawab dalam pengedaran tiga juta tan metrik minyak sawit dan banyak daripadanya mahu Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat dan menjadi pengedar utama produk minyak sawit ke negara ini.
“Mereka (penggiat industri) mahu Malaysia untuk terus ke sini membawa pelabur dan pada masa akan datang untuk kita mengeluarkan produk minyak sawit dan memberi keutamaan kepada Pakistan untuk mengedarkan kelapa sawit di Pakistan dan Asia Tengah,” katanya ketika sesi perbincangan meja bulat bersama penggiat utama industri minyak dan lemak Pakistan.
Johari ketika berkongsi mengenai industri sawit negara memaklumkan sedekad lalu pengedaran minyak sawit Malaysia di Pakistan mencecah sehingga 95 peratus berbanding Indonesia ketika itu hanya lima peratus.
“Hari ini, Indonesia mengedarkan sekitar 90 peratus dan Malaysia 10 peratus,” katanya.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama sempena Pakistan Edible Oil Conference ke-7, Johari berkatakerjasama Malaysia-Pakistan dalam sektor minyak sawit digambarkan melalui perkongsian yang berjaya, membabitkan syarikat dari kedua-dua negara.
Memberi contoh projek kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelabuhan Qasim, katanya ia memainkan peranan penting dalam memodenkan industri minyak masak Pakistan.

“Ia bermula dengan terminal tangki penyimpanan 16,000 tan metrik dan berkembang menjadi sistem yang komprehensif, merangkumi kilang penapisan moden, kilang pengekstrakan pelarut dan terminal kargo cecair yang kini mengendalikan lebih 90 peratus minyak sawit yang memasuki Pakistan.
“Malah kapasiti penyimpanan keseluruhan berkembang melebihi 200,000 tan metrik,” katanya.
Jelas Johari, kehadiran Malaysia dalam tempoh jangka panjang dalam industri minyak masak di Pakistan memberikan platform yang hebat untuk meneroka peluang baharu dan memperkukuh matlamat bersama.
“Saya amat berharap untuk melihat Pakistan kembali menyertai ‘Million Ton Club’ untuk import minyak sawit Malaysia, yang mencerminkan potensi kerjasama ini. Malah berharap dalam pertambahan kerjasama bagi produk hiliran sawit,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY
