GovernansMalaysiaPilihan Editor

RMK13: 1878 Komuniti MADANI, 1099 Pengurus NADI Menyebarluas Ikhtiar & Hasrat Kerajaan

Kementerian Komunikasi akan mengadakan sesi taklimat penerangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama pihak berkepentingan secara dalam talian, pada malam 31 Julai 2025.

Sesi berkenaan membabitkan 1,878 Komuniti MADANI dan 1,099 Pengurus Pusat Sebarang Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Sesi itu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, penting untuk memastikan usaha dan ikhtiar Kerajaan MADANI dapat difahami serta disebarluaskan secara menyeluruh kepada masyarakat pelbagai lapisan.

“Bila kita bantu Komuniti MADANI dan pengurus NADI menyebarluaskan ikhtiar dan hasrat kerajaan, maka rakyat akan mendapat manfaat akhirnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini

Terdahulu, RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, memberi tumpuan tiga kebajikan utama. Tiga kebajikan utama itu ialah tatakelola baik, meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh dan penekanan terhadap pembangunan industri Pertumbuhan Tinggi dan Nilai Tinggi (HGHV).
Sementara itu, Fahmi menyifatkan, RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ adalah terjemahan kepada wadah dibawa kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI untuk tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata, lebih 40 dasar utama, pelan tindakan dan lebih 85 rang undang-undang yang diperkenalkan, turut dimasukkan dalam dokumen RMK13.

“Kita mengambil kira dan memahami pelbagai peluang yang wujud dengan trend mega serta cabaran domestik yang ada. RMK13 berusaha mencakupi semua dimensi, termasuk kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam serta pengukuhan tatakelola,” katanya.

“RMK13 juga memberi tumpuan kepada teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dengan harapan menjadikan Malaysia sebagai antara negara berteraskan AI utama dunia dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Mengenai Kementerian Komunikasi, Rafizi berkata, tumpuan akan diberi kepada pembangunan ekosistem ekonomi kreatif serta pengukuhan infrastruktur digital melalui MyCreative Ventures dan FINAS, terutama dalam industri animasi.

“Bagi pengukuhan ekosistem ekonomi jingga, kita harap beberapa usaha dan ikhtiar akan dapat meningkatkan daya saing melalui penghasilan karya yang memiliki nilai komersial tinggi untuk dinikmati dalam dan luar negara.

“Aspek pendigitalan pula, kementerian fokus memperluas capaian internet berkelajuan tinggi lebih selamat, terutama bagi kanak-kanak dan keluarga, selain pelaksanaan MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal dan identiti digital perniagaan,” katanya.

Fahmi berkata kementerian juga komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sabah dan Sarawak melalui peluasan program JENDELA 2 dan projek ‘Point of Presence’ bagi menyeimbangkan pembangunan wilayah dan luar bandar.

“Kami terima maklum balas pelbagai pihak termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau pertubuhan bukan kerajaan yang mahu menegaskan kepentingan internet khusus, media sosial lebih selamat dan tidak disalahgunakan penjenayah untuk memangsakan kanak-kanak,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close