Oleh Ivy Ng Lee Fang
Dasar baharu yang mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dijangka membawa impak positif kepada dana persaraan negara itu dengan tambahan caruman tahunan mencecah RM2.4 bilion, demikian menurut CIMB Securities.
Berdasarkan unjuran 2.5 juta pekerja asing yang menerima purata gaji bulanan RM2,000, tambahan caruman sebanyak RM2.4 bilion setahun itu mewakili peningkatan 2.2 peratus berbanding jumlah caruman keseluruhan KWSP sebanyak RM108.2 bilion pada 2024.
Tambahan caruman ini akan menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan 11 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bermula Oktober ini, semua majikan dan pekerja asing yang memiliki pasport dan permit kerja sah (tidak termasuk pembantu rumah) diwajibkan mencarum masing-masing dua peratus kepada KWSP berdasarkan gaji bulanan.
Ttambahan itu juga bukan sahaja mengukuhkan kedudukan KWSP sebagai institusi simpanan nasional, malah berpotensi menyokong kecairan domestik dalam pasaran modal. Sehingga akhir Disember 2024, hanya 0.9 peratus atau 22,635 pekerja asing di Malaysia yang secara sukarela mencarum kepada KWSP. Oleh itu, pelaksanaan dasar baharu ini juga membawa makna ke arah kesaksamaan sosial dalam amalan buruh.
Dalam jangka pendek, beberapa sektor perniagaan yang bergantung kepada buruh asing akan terkesan oleh peningkatan kos operasi akibat caruman tambahan ini.
Sementara itu, antara sektor yang paling terkesan dengan dasar baharu itu termasuk perladangan, di mana syarikat berkaitan bakal berdepan pengurangan keuntungan bersih sebanyak 0.4 hingga 1.3 peratus bagi tahun kewangan 2026 akibat caruman 2.0 peratus itu.
Kebimbangan utama adalah potensi kenaikan kadar caruman ke paras yang setara dengan pekerja tempatan (12 hingga 13 peratus) pada masa hadapan.
Selain perladangan, sektor terkesan adalah sarung tangan dengan industri itu dijangka berdepan tekanan kos buruh yang semakin meningkat, yang menyumbang sembilan hingga 10 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan operasi.
Dengan keadaan permintaan yang lemah dan lebihan bekalan, kuasa untuk memindahkan kos kepada pelanggan dijangka terhad.
Sektor teknologi/perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) juga berdepan tekanan di mana pekerja asing merangkumi 60 hingga 65 peratus tenaga kerja dalam sektor EMS dan 20 hingga 25 peratus bagi penyedia pemasangan semikonduktor (OSAT).
Kesan ke atas pendapatan OSAT dijangka mencecah pengurangan sekitar tiga hingga empat peratus bagi tahun 2026..
CIMB Securities turut meramalkan sektor pembinaan terjejas selepas ia dijangka berdepan tambahan kos RM200 juta setahun, lebih rendah daripada jangkaan RM1.3 bilion oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia jika kadar caruman penuh (13 peratus) dilaksanakan.
Kontraktor dijangka menyesuaikan kadar tender bagi menampung kos. Sektor hartanah turut terkesan walaupun pemaju tidak secara langsung terbabit dalam pembinaan, namun kos pembinaan yang meningkat bakal memberi tekanan kepada harga rumah, yang akhirnya mungkin dipindahkan kepada pembeli. – BH ONLINE
- Penulis ialah penganalisis firma pembrokeran pasaran.