Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berpeluang besar menjadi pemangkin kepada ekonomi serantau terutamanya dalam aspek digital ekonomi tanpa sempadan dalam pelbagai industri, kata penganalisis.
Ia termasuk dalam industri seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech) dan juga logistik.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata Malaysia boleh menjadi koordinator dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN dan menyalurkan ke negara yang sesuai untuk dibangunkan teknologi itu.
Lagipun, jelasnya, kedudukan ASEAN secara geografi juga sangat strategik dari segi geopolitik dan ekonomi serta sumber alam semula jadi yang banyak dan pelbagai.
Beliau berkata demikian bagi mengulas peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama serantau.
Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos bermula 1 Januari 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan aspirasi untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ia adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bermula 23 Mei 2025 dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan, diikuti mesyuarat menteri pada 25 Mei dan kemuncaknya mesyuarat ketua kerajaan pada 26 Mei.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, jurang pembangunan antara negara ASEAN, contohnya, Myanmar dan Timur Leste mempunyai sumber alam yang banyak, manakala Singapura mempunyai sistem kewangan antara yang terbaik di dunia, maka seharusnya ia digabungkan untuk kebaikan semua pihak.
Sebaiknya perlu ada pelan pembangunan infrastruktur bersama ASEAN di dalam pelan ekonomi ASEAN serantau bagi membolehkan semua pihak mempunyai hala tuju yang sama dan dapat menarik pelbagai pelabur terutama dari negara ASEAN, katanya.
“ASEAN perlu meningkatkan kerjasama satu tahap yang lebih tinggi dalam blok ekonomi dan politik, misalnya mengadakan pelan strategik ekonomi ASEAN seperti Rancangan Malaysia (RMK),” katanya.
Dalam mendepani isu kritikal seperti hak asasi manusia di Myanmar, penguasaan China di Kepulauan Spratly, pergeseran China dan Filipina serta China dan Taiwan, Aimi Zulhazmi berpendapat, perlunya negara anggota bersatu dalam menangani isu yang sentiasa mengancam kestabilan rantau ini.
Beliau berkata, hubungan yang tersedia erat berpuluh tahun antara kepimpinan tertinggi ASEAN harus dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi dari sekarang untuk mereliasasikan visi dan misi ASEAN.
“ASEAN juga perlu bukan saja menangani isu geopolitik dan ekonomi di luar ASEAN, tetapi juga dalaman ASEAN terutama keseimbangan ekonomi antara negara anggota. – BH ONLINE