
Pada 20 Jun lalu, sejarah baharu tertulis dalam kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang sebelum itu menjawat Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) Ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.
Pelantikan diperkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan itu, membawa banyak signifikan, bukan sahaja dari sudut operasi keselamatan negara, malah perspektif akademik, perundangan dan pengurusan strategik.
Fasal (4) menyebut pelantikan bagi menyandang jawatan Ketua Polis Negara hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, manakala Fasal (5) pula menyebut sebelum bertindak mengikut Fasal (4), Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri.
Jelas di sini lantikan Ketua Polis Negara adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati semua pihak, termasuk masyarakat awam. Yang di-Pertuan Agong sudah pasti mempertimbangkan semua aspek – kompetensi, integriti, hierarki dan keperluan semasa negara – dalam memperkenankan pelantikan berkenaan.
Beliau mempunyai kelulusan akademik amat kukuh, bermula Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), diikuti Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya Ijazah Sarjana dalam Perbandingan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pemahaman yang mendalam mengenai struktur perundangan akan membolehkan beliau memperkasa institusi polis sebagai penjaga undang-undang negara dengan lebih efisien dan berintegriti.
Mohd Khalid juga bukanlah nama asing dalam pasukan keselamatan negara walaupun beliau jarang diberikan publisiti. Lihatlah sahaja pengalaman luas beliau melalui pelbagai jawatan pernah digalas beliau sepanjang perkhidmatan:
- Cawangan Khas Bukit Aman: 1987-1999
- Cawangan Khas Gombak: 2002-2004
- DSP FCCC Cawangan Khas Bukit Aman: 2008-2010
- Supt Ancaman Ektremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman: 2010-2013
- Supt Perlindungan Keselamatan Cawangan Khas Bukit Aman: 2013-2014
- Atase Polis Kedutaan Malaysia di London: 2014-2018
- Ketua Cawangan Khas Pahang: 2018-2021
- Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman: 2021-2022
- Timbalan Pengarah I Cawangan Khas Bukit Aman: 2022-2023
- Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman: 2023-2025
Satu-satunya sebab mengapa beliau kurang dikenali adalah kerana lumrah tugas beliau selama lebih tiga dekad banyak tertumpu dalam Cawangan Khas, iaitu entiti penting yang bertindak sebagai mata dan telinga negara.
Cawangan Khas mempunyai sembilan unit utama (E1 hingga E9) meliputi risikan teknikal, sosial, luar negara, politik, ekonomi, keselamatan, pentadbiran, antikeganasan serta penyelidikan dan kesetiausahaan.
Penguasaan beliau terhadap semua unit ini menempatkannya sebagai individu yang benar-benar memahami landskap ancaman moden daripada ekstremisme, pengintipan, sabotaj hingga perang maklumat.
Pelantikan beliau sebagai KPN juga bukanlah satu anomali atau kali pertama berlaku. Pada 2017, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang ketika itu Pengarah Cawangan Khas turut pernah dilantik sebagai Ketua Polis Negara.
Ini membuktikan pemilihan dalam kalangan pengarah Cawangan Khas berdasarkan merit serta keperluan negara.
Malah, gred Pengarah Cawangan Khas adalah setara dengan Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menjadikannya satu daripada tiga calon disaring Suruhanjaya Pasukan Polis dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan.
Cawangan Khas ditubuhkan secara rasmi pada 1952, dengan sejarahnya bermula sejak zaman penjajahan British menerusi Civil Security Service dan Malayan Security Service.
Sejak Perang Komunis dan Darurat, Cawangan Khas kekal sebagai benteng pertama dalam menangkis ancaman subversif. Hari ini, ia terus memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dalaman dan kestabilan negara.
Berbeza dengan jabatan lain yang lebih ‘terang’, kejayaan Cawangan Khas tidak dipaparkan di media. Anggotanya digelar ‘Eagle Eye’ kerana keupayaan mereka menjalankan tugas secara senyap, namun berkesan.
Individu amat boleh dipercayai
Kerahsiaan adalah ‘tradecraft’ mereka. Mereka tidak melayani sidang media dan tidak mendedahkan kejayaan secara terbuka, tetapi keberkesanan mereka terletak pada ketiadaan ancaman berleluasa.
Inilah sebabnya mengapa ramai tidak mengenali Mohd Khalid, tetapi pada masa sama, beliau adalah individu yang amat boleh dipercayai.
Kedudukan selaku Pengarah Cawangan Khas juga membolehkan beliau mempunyai akses terus kepada Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang berbeza dengan jabatan lain yang melapor terus kepada KPN.
Oleh itu, pelantikan Mohd Khalid ke jawatan tertinggi ini adalah kesinambungan logik berdasarkan kepercayaan dan saluran strategik sedia ada.
Malah kewibawaan Mohd Khalid juga sudah semakin diakui oleh banyak pihak yang mengenali beliau.
Wartawan kanan jenayah, Syahril Abdul Kadir, menulis: “Mohd Khalid adalah orang lama dalam Cawangan Khas. Berpuluh tahun dalam jabatan berkenaan. Kelayakan akademiknya pun hebat. Ada diploma, ada ijazah sarjana muda, ada master. Beliau juga pernah dihantar bertugas sehingga ke London. Dalam erti kata lain, atas kertas, tak nampak ada cacat cela anak jati Perak itu untuk sampai ke tahap ini.”
Peguam yang juga bekas rakan sekelas Mohd Khalid di UIAM, Mohd Fitri Asmuni pula menulis: “Semasa sama-sama belajar di AIKOL (Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim) dulu, beliau seorang daripada ‘abang polis’ yang sangat merendah diri dan murah senyuman.”
Apapun, Mohd Khalid sebenarnya tidak perlu membuktikan dirinya kepada dunia luar kerana rekod prestasi beliau membuktikan segala-galanya. Sebaliknya, cabaran beliau kini adalah untuk menyesuaikan struktur PDRM dalam era keselamatan digital, memperkukuh kepercayaan awam dan memastikan PDRM akan menjadi institusi yang semakin bersinar. – BH ONLINE
- Penulis adalah Penganalisis Sosiopolitik