Pilihan EditorTwo Cents

PANDANGAN: Kemelut Royalti Petroleum Wajar Dirungkaikan Ikut Perlembagaan – Ahli Akademik

Oleh Dr Muhammad Fathi Yusof

BARU-BARU ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 (ALW). Maka, timbul persoalan, adakan akta berkenaan menjadi penghalang kepada hak Terengganu untuk menerima royalti petroleum?

Hak kerajaan negeri untuk menerima royalti petroleum jelas diperuntukkan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan juga perjanjian antara PETRONAS dan kerajaan negeri.

Hak berkenaan berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan khususnya Butiran 2, Jadual Kesembilan meletakkan hasil galian dan perlombongan sebagai hak kerajaan negeri. Hak berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

Hujah mendakwa kerajaan negeri tidak berhak mendapat royalti timbul kerana hasil minyak di peroleh ‘di luar sempadan negeri’ hanya timbul mutakhir ini. Sandaran dirujuk ialah ALW.

Negeri dalam Persekutuan Malaysia sebenarnya berasal daripada pemerintahan kesultanan berdaulat dan mempunyai pemerintahan tersendiri meliputi sempadan di darat dan lautan. Oleh demikian, keluasan sempadan meliputi kawasan laut seharusnya kekal melainkan jika dihadkan melalui kaedah dinyatakan Perlembagaan.

Seksyen 3(1) ALW menyebut lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika bagi segala maksud. Dalam hal ini perkataan ‘Malaysia’ tidak sepatutnya difahami sebagai bidang kuasa Persekutuan semata-mata, bahkan juga bidang kuasa negeri. Maksudnya, sempadan 12 batu nautika itu adalah sempadan bagi Malaysia secara keseluruhan dan juga sempadan setiap negeri.

Dari sudut agihan bidang kuasa negeri dan Persekutuan pula, ia tidak sepatutnya ditentukan garis sempadan laut kerana kedua-dua peringkat kerajaan masing-masing ada bidang kuasa mengikut agihan kuasa di bawah Jadual 9 Perlembagaan.

Misalnya, dalam soal keselamatan dan pertahanan, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab menjaganya meliputi semua kawasan laut wilayah Malaysia.

Dalam soal galian dan perlombongan, serta guna tanah, hak berkenaan kekal di bawah kerajaan negeri sesuai dengan ketetapan Jadual Kesembilan, melainkan jika wujud undang-undang khusus mengehadkannya.

Ada pihak merujuk Seksyen 3(3) ALW sebagai asas sempadan kerajaan negeri mengecil setakat tiga batu nautika dari garis air surut dan selebihnya baki laut wilayah sehingga 12 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di bawah Kerajaan Persekutuan sepenuhnya.

Jika Seksyen 3(3) ALW ini ditafsirkan sebagai mengecilkan sempadan negeri, maka dengan sendirinya ia tidak boleh berkuat kuasa melainkan dengan kelulusan negeri dan Majlis Raja-Raja.

Perbezaan undang-undang

Mungkin ada mempersoalkan kenapa isu keabsahan pengecilan sempadan negeri ini baru timbul sedangkan peruntukan Seksyen 3(3) ALW sudah wujud sebelum ini dalam Ordinan No 7 1969.

Dari sudut ini, kita perlu bezakan undang-undang diwujudkan di bawah kuasa darurat dalam bentuk ordinan dan undang-undang melalui proses biasa di Parlimen dalam bentuk akta.

Ordinan darurat kebiasaannya diperkenalkan bagi menangani isu kritikal sesuai dengan situasi darurat. Perkara 150(6) menetapkan ordinan darurat tidak boleh dicabar sebagai ‘tidak sah atas faktor ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan’. Atas sebab-sebab ini maka Ordinan No 7 1969 tidak pernah dipersoalkan keabsahannya.

Namun, apabila ALW diluluskan bagi menggantikan ordinan itu, maka sewajarnya diteliti semua kewajaran meneruskan penguatkuasaan ordinan berkenaan.

Jika dilihat dari sudut realiti semasa, banyak perubahan berlaku sejak ordinan itu diperkenalkan pada 1969. Maka pihak kerajaan sepatutnya meneliti kesesuaian setiap peruntukan ordinan berkenaan sebelum menukarkan sepenuhnya sebagai satu akta biasa.

Sejak 1969, ada undang-undang baharu berkaitan laut wilayah, antaranya Akta ZEE 1984 dan Akta Garis Pangkal Zon Maritim 2006 . Manakala, Akta Pelantar Benua 1966 melalui beberapa proses semakan semula dan pindaan.

Selain itu, pada 1982, wujud satu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan diratifikasi serta berkuat kuasa kepada Malaysia sejak 14 November 1996.

Perkembangan berlaku itu menjadikan sebahagian daripada peruntukan terdapat dalam Ordinan No 7 1969 tidak lagi signifikan untuk dikekalkan. Sepatutnya peruntukan boleh diserapkan dalam sedia ada, tanpa perlu mewujudkan akta baharu.

Peruntukan Seksyen 3(3) yang mengehadkan sempadan negeri wajar dihapuskan kerana tidak lagi relevan. Peruntukan itu diwujudkan ketika darurat pada 1969, mungkin atas faktor keperluan bagi menjamin kelancaran dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman keselamatan dan ekonomi.

Namun, selepas darurat lama berlalu, maka tidak ada lagi keperluan untuk mengekalkannya. Amat malang jika peruntukan asalnya dibuat untuk mempertahankan kedaulatan dalam tempoh darurat, digunakan untuk menafikan hak negeri mendapat royalti petroleum dijamin Perlembagaan, undang-undang dan perjanjian.

Ringkasnya, Akta Laut Wilayah 2012 sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada hak royalti petroleum negeri. Peruntukan akta berkenaan mengecilkan sempadan negeri boleh dianggap tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

Adalah diharapkan semua pihak meletakkan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada perjanjian sebagai asas dalam membuat keputusan, bagi menjadi keadilan dan hak demi kepentingan rakyat. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Prof Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close