MalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Gugur Kes Mahkamah, Peruntukan RM2 Juta Antara Tawaran Wan Saiful Sokong Kerajaan

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sekali lagi menarik perhatian apabila beliau meminta Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa berhubung tindakan dua Ahli Parlimen yang membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.

Wan Saiful menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi membuat tindakan berkenaan bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.

Beliau mendakwa dua ahli parlimen bersama tiga individu itu membuat tawaran untuk memberikan peruntukan Parlimen, peruntukan projek bernilai RM2 juta, bayaran kos perubatan isteri beliau, kos guaman peruntukan di mahkamah dan ‘token’ yang tidak dinyatakan nilainya serta pengguguran kes di mahkamah.

“Saya mengemukakan peraturan 80 (a) kerana sudah ada kes duluan pada 2009 membabitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

Wan Saiful mendakwa Mohd Azizi memperkenalkan beliau dengan dua individu dikenali sebagai Hasnan dan Datuk Azman pada 17 Januari lalu manakala Zulkafperi memperkenalkan individu bernama Datuk Rahim.

Katanya, mereka termasuk Zulkaperi menghantar cadangan yang mengandungi ucapan yang mahu diucapkan ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari dalam usaha mempengaruhi kelakuan beliau dalam dewan berkenaan.

“Saya menganggap ini usaha kacau ganggu melalui penawaran dan ancaman yang salah kepada saya sebagai ahli Dewan Rakyat, yang mana berlaku tindakan menghina majlis berdasarkan Seksyen 9d dan 9e Akta 347 dan boleh jika disabitkan di hukuman di bawah akta yang sama.

“Justeru, saya memerlukan pembentukan jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 80(a),” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Wan Saiful mendakwa ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, antara habuan yang ditawarkan adalah peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta.

Kesan pendedahannya itu, beliau mendakwa tidak sampai sejam dihubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memintanya membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Minggu lalu, Wan Saiful mendakwa beliau menerima notis SPRM yang disifatkannya mengganggunya sehingga memberi tekanan tidak wajar kepada beliau sebagai ahli Parlimen.

Beliau menyifatkan notis itu sebagai tidak adil termasuk berbahaya kerana boleh mengancam imuniti ahli Parlimen daripada pendakwaan dan keistimewaan ketika berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close