Setiap ladang kelapa sawit di negara ini perlu mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan menggunakan bahan penanaman serta amalan pertanian yang baik supaya pengeluaran hasil sawit sentiasa konsisten bagi memenuhi permintaan global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata harga komoditi, termasuk kelapa sawit tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana pihak kerana ia berdasarkan bekalan dan permintaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebagai negara pengeluar kedua terbesar kelapa sawit, kementerian perlu memastikan pengeluaran komoditi itu tidak terjejas.
“Satu daripada faktornya adalah kita mesti memastikan setiap ladang yang mengeluarkan hasil kelapa sawit mempunyai pekerja yang cukup kerana jika tidak, berlaku masalah buah yang masak tapi tiada orang untuk meraih, yang menjejaskan peluang meningkatkan pengeluaran.
“Selain itu, mana-mana ladang, khususnya pekebun kecil, kita akan pastikan mereka menggunakan bahan penanaman dan amalan pertanian yang baik supaya meningkatkan hasil, maka kos pengeluaran dapat dikurangkan dan mendapat peningkatan permintaan.
“Ini antara faktor penting untuk kita memastikan peningkatan pengeluaran dan menurunkan kos apabila buah yang dikeluarkan tinggi nilainya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Edwin Banta (GPS-Selangau) mengenai langkah yang diambil kementerian untuk mengatasi isu penurunan harga komoditi, khususnya kelapa sawit, termasuk strategi yang dirancang untuk menstabilkan harga, meningkatkan permintaan dan mencari pasaran baharu. – BH ONLINE