GovernansMalaysia

Pekebun Kecil Koko Digesa Tidak Beralih Kepada Tanaman Lain – Johari Ghani

Kementerian Peladangan dan Komoditi (KPK) menggesa pekebun kecil koko di negara ini tidak ‘berhijrah’ kepada tanaman kelapa sawit, sebaliknya terus bertahan mengusahakan tanaman komoditi itu yang kini mempunyai harga pasaran lumayan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata koko mempunyai potensi besar memandangkan harga pasaran komoditi itu amat lumayan ketika ini, mencecah RM30,000 bagi satu tan dengan margin keuntungan hampir 60 peratus berbanding kos pertanian kira-kira RM8,400 bagi satu hektar.

Katanya, ketika ini, Malaysia terpaksa mengimport hampir 530,000 tan koko dari luar negara, yang menelan belanja RM7.8 bilion setahun untuk diproses menjadi produk makanan.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada koko import, Johari berkata, Lembaga Koko Malaysia (LKM) kini memberi tumpuan membantu kelompok pekebun kecil menerusi pelbagai inisiatif bagi menggandakan hasil dan pendapatan.

“Dahulu kita pernah hasilkan hampir 300,000 tan tetapi kini hanya 270 tan. Pengurangan jumlah ini disebabkan dahulu kita berdepan banyak masalah penyakit membabitkan pokok koko, namun sekarang kita sudah atasi melalui kajian dan pembangunan (R&D).

“Dalam Belanjawan 2025 yang baru diumumkan Perdana Menteri, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk mengatasi penyakit berjangkit berkaitan komoditi termasuk koko.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Ramle Kasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Wasanthee.

Johari berkata, kerajaan berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap koko import dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang dengan pembabitan generasi belia ke dalam industri koko demi keterjaminan makanan.

“LKM akan mengadakan banyak kursus dari segi Amalan Pertanian Baik (GAP) bertujuan melatih pekebun kecil mempraktikkan sistem tanaman yang mengikut standard piawaian yang tinggi.

“Kita mengalu-alukan generasi belia yang ada kawasan boleh diguna untuk tanaman koko dan LKM sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat,” katanya.

Menceritakan keistimewaan koko, beliau berkata, pokok koko boleh dituai selepas dua tahun setengah ditanam dan boleh hidup selama 23 hingga 25 tahun, selain mudah dituai dan tidak memerlukan kudrat sumber tenaga pekerja asing seperti industri kelapa sawit.

Pada majlis sama, Johari turut melancarkan bar coklat asal Bagan Datuk iaitu Coklat Single Origin yang memberi pilihan kepada pengguna di pasaran tidak lama lagi. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close