Duniaku Teknokrat

‘Kami Bukan Monopoli Telekomunikasi’ – CEO TM

Telekom Malaysia Bhd (TM) melaksanakan pembangunan infrastruktur komunikasi negara selaras kehendak rakyat dan negara, bukan bertujuan memonopoli industri serta menyukarkan syarikat telekomunikasi lain berkembang.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, menegaskan isu ‘monopoli’ yang dibangkitkan mengenai gergasi telekomunikasi negara itu sejak sekian lama, adalah tidak berasas.

Ia kerana pengembangan operasi TM dilaksanakan mengikut keperluan negara dengan pelaburan besar yang hanya akan mendapat pulangan dalam satu tempoh yang lama.

Katanya, struktur pelaburan dan operasi konglomerat itu agak berlainan dengan syarikat korporat bidang sama yang mana mementingkan kuantiti dan keuntungan, berbanding TM yang berpaksikan agenda pembangunan industri telekomunikasi negara.

Ia selaras dengan pelaksanaan agenda TM dalam pembangunan telekomunikasi negara dengan tidak berpaksikan keuntungan segera serta tidak mengutamakan jumlah penduduk sesuatu tempat.

“Apa yang dilaksanakan TM adalah untuk membangunkan industri telekomunikasi negara dan menjadi tulang belakang agenda kerajaan dalam membangunkan infrastruktur untuk kepentingan rakyat.

“Adalah tidak adil mengatakan TM memonopoli industri, sedangkan apa yang dilaksanakan kami berteraskan keperluan negara. Apa yang dilaburkan syarikat untuk kesejahteraan rakyat dan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani.

Mengulas lanjut, Noor Kamarul Anuar berkata, contoh terbaik adalah pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dilaksanakan TM di Putrajaya pada 1997, yang mana ia dipelawa oleh Putrajaya Holdings untuk melabur di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Katanya, pelawaan itu diterima TM meskipun pada ketika itu Putrajaya tidak memiliki kemudahan dan syarikat telekomunikasi lain pula tidak berminat.

“TM melabur lebih RM1 bilion di Putrajaya untuk melaksanakan pembangunan baharu di sana ketika syarikat lain tidak sanggup.

“Sejak dari itu, TM sudah memiliki 1,160 kilometer (km) kabel gentian optik, sejumlah 27,000 port jalur lebar, sebanyak 1,500 port rangkaian Metro-E, 245 poin akses WiFi dan 14 tapak C-RAN (rangkaian jalur tanpa wayar). Selepas semua kemudahan dibangunkan di Putrajaya, timbul pula anggapan kami monopoli.

“Sukar untuk kami terima selepas apa (pelaburan dan infrastruktur dibangunkan) yang telah dilaksanakan khususnya di Putrajaya, daripada yang tiada apa-apa pada mulanya sehinggalah pesat membangun seperti sekarang,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Tengku Muneer pula berkata, TM adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertekad membangunkan negara menerusi telekomunikasi.

“Syarikat (telekomunikasi) lain yang mengambil kira pelbagai aspek termasuk kepadatan penduduk dan memilih tempat tertentu untuk membangunkan kemudahan.

“TM melakukan sebaliknya. Kerana pada kami, TM perlu ‘menyantuni’ semua kawasan bukannya tempat tertentu sahaja. Malah, kita juga mengambil alih projek terbengkalai daripada pihak lain demi kepentingan penduduk setempat,” katanya.

Beliau menjelaskan, TM juga membangunkan infrastruktur untuk lebih 40 projek utama termasuk Empire City dan Emira Residence, Selangor serta Bayu Creek Presint 7, Johor.

Malah, katanya, konglomerat itu turut membangunkan rangkaian perhubungan di lebih 50 sekolah di seluruh negara, di mana sebelum ini ia dibangunkan oleh operator lain. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close