Pembayaran rentas sempadan ASEAN menggunakan sistem kod QR mencatatkan peningkatan dengan 12.9 juta transaksi pada separuh pertama 2025.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata perkembangan itu meletakkan asas untuk pengembangan selanjutnya dengan rangkaian rentas untuk negara tambahan sedang diteroka dan dilaksanakan bagi memperdalam ketersambungan serantau.
“Berasaskan inisiatif ini, seperti Projek Nexus yang diketuai bersama oleh Malaysia dan rakan kongsi serantau sedang berusaha meneroka batas baharu dalam pembayaran digital.
“Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera merentas sempadan, Projek Nexus membolehkan transaksi runcit dilakukan hampir serta-merta,” katanya pada Persidangan Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN Ke-48 (FAEA 2025) di sini, hari ini.
Gabenor bank pusat itu berkata, ia termasuk mempercepat pelaksanaan pelbagai perjanjian perdagangan utama seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bakal dimuktamadkan.
Menurutnya, kesemua perjanjian itu dijangka mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan penyumberan dalam rantau serta merancakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN.
“Mempelbagaikan dan mengukuhkan perkongsian perdagangan – terutamanya dengan ekonomi maju dan sedang pesat membangun yang lain – bukan sekadar lindung nilai terhadap ketidaktentuan. Ia adalah satu kemestian strategik,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, hubungan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea telah lama terbentuk melalui perkongsian budaya dan rantaian nilai merentasi pelbagai industri dan masih terdapat ruang besar untuk diperkukuh.
Beliau berkata, institusi seperti Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) telah menyalurkan sehingga AS$50 bilion untuk projek berkaitan iklim di ASEAN, sementara Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF) pula menyediakan lebih AS$894 juta bagi program integrasi ekonomi, pengurusan bencana dan pembangunan modal insan sejak 2006.
“Inisiatif itu menjadi asas kukuh untuk kerjasama masa depan dan ASEAN perlu bersedia memanfaatkan peluang itu sepenuhnya,” katanya.
Di luar Asia, Abdul Rasheed berkata, kerjasama lebih mendalam dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Latin menawarkan laluan baharu untuk mempelbagaikan rakan dagang.
Beliau berkata, perdagangan ASEAN-EU kini melebihi AS$200 bilion setahun, menjadikan ASEAN rakan dagang ketiga terbesar EU di luar benua Eropah.
Katanya, walaupun perdagangan dengan Amerika Latin masih sekitar AS$32 bilion, potensinya semakin jelas. – BH ONLINE




