Duniaku Teknokrat

PLUS Bhd, Syarikat Lebuh Raya Pertama Raih Anugerah AMEC 2020

Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020.

Majlis tersebut berlangsung di United Kingdom baru-baru ini dan pencapaian itu menjadikan PLUS sebagai syarikat lebuh raya pertama di dunia yang menerima anugerah daripada AMEC.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata anugerah itu adalah bukti bahawa sokongan kepimpinan tertinggi merupakan kunci kepada kejayaan komunikasi.

“Kami gembira dengan anugerah ini yang dicalonkan oleh Isentia, syarikat pemantauan dan analisis media serantau kami, dinilai sebagai pemenang mengatasi dua jenama antarabangsa lain, Fullintel yang memenangi perak dan LexisNexis dengan gangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wawasan Isentia Asia Prashant Saxena berkata pasukannya berjaya mempertahankan kecemerlangan pada Majlis Anugerah AMEC yang berprestij tersebut.

“Pada  2020, kami menghantar penyertaan untuk enam kategori dan hasilnya kami meraih empat (anugerah) emas dan satu perak. Terima kasih kepada pasukan kami di Malaysia kerana telah membantu PLUS dalam projek pengukuran reputasi mereka yang masih berjalan,” katanya.

Sidang Kemuncak Global AMEC adalah program penghargaan tahunan yang mengiktiraf usaha dan pencapaian penyelidikan luar biasa, pengukuran dan analisis untuk kempen komunikasi syarikat perniagaan dan kerajaan.

AMEC, yang mempunyai lebih  160 ahli di 86 negara, adalah organisasi penyelidikan dan wawasan media profesional terbesar di dunia yang mewakili organisasi dan pengamal media yang menyediakan penilaian media dan penyelidikan komunikasi.– BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close