PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) mempertingkatkan Program Bank Makanan di lebih 400 stesen PETRONAS di seluruh negara untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang terkesan oleh pandemik yang masih berterusan.
Usaha itu, yang pertama kali dimulakan oleh pengedar stesen individu, kini ditambah dengan sumbangan daripada komuniti sekitar stesen yang tampil untuk turut serta.
Setakat ini, PDB memperuntukkan bekalan makanan bernilai RM600,000 untuk mempertingkatkan program itu sehingga dapat menjangkau lebih banyak penerima bantuan.
“Dalam tempoh yang mencabar ini, sungguh menggembirakan apabila melihat rakyat Malaysia berkumpul, termasuk pengedar stesen kami membantu mereka yang benar-benar memerlukan
“Kami memanfaatkan rangkaian fizikal, mengaktifkan platform digital dan mahu memudahkan semua orang untuk turut serta,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani dalam satu kenyataan.
Melalui ciri baharu dalam aplikasi Setel, penerima bantuan dan mereka yang lebih suka menyumbang secara fizikal dapat mencari stesen peserta program terbabit.
Pengguna Setel juga boleh memilih untuk membeli pek makanan dari kenderaan mereka melalui ‘Deliver2Me’ ketika berada di stesen.
Orang ramai juga boleh menyumbang secara dalam talian dari kediaman mereka secara selamat, manakala ahli Mesra boleh menebus dan menukar mata ganjaran menjadi pek makanan melalui aplikasi Setel.
Azrul berkata, semua sumbangan dalam talian memanfaatkan rangkaian rantaian nilai PDB dan akan dihantar ke negeri terpilih di seluruh negara, tanpa kos tambahan kepada penyumbang.
“PDB tidak membuat keuntungan daripada sumbangan ini, jadi semua orang boleh yakin bahawa setiap ringgit akan dihantar terus kepada penerima. Kami berharap dapat mengumpulkan syarikat dan orang ramai dengan program ini.
“Kami juga bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, rakan perniagaan dan dalam Kumpulan PETRONAS untuk jangkauan yang lebih luas dan impak yang lebih besar.
“Ini adalah permulaan yang menggembirakan, dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak kemas kini mengenai inisiatif ini,” katanya sambil menambah PDB juga meninjau kerjasama untuk mengekalkan program itu dalam jangka panjang.
Baru-baru ini, PDB memberikan kopi dan makanan ringan kepada 20,000 barisan hadapan di seluruh negara melalui Kempen Coffee Break PETRONAS.
Azrul berkata, Kempen Coffee Break PETRONAS kini memasuki tahun ke-23 dan lazimnya memberi manfaat kepada pengguna kenderaan yang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Beliau berkata, berikutan pandemik dan sekatan perjalanan, pihaknya mengalihkan sumbangan kepada barisan depan, dengan harapan usaha yang dilaksanakan itu dapat menaikkan semangat mereka dan mengingatkan mereka untuk berehat dan kembali bertenaga semula.
Rakan kongsi kempen termasuk Nestlé Products Sdn Bhd, Delfi Marketing Sdn Bhd, iNova Pharmaceuticals (Singapore) Pte Ltd (Malaysia Branch), Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd, Karabao Marketing (M) Sdn Bhd, S.L. Marketing (M) Sdn Bhd, Yee Lee Trading Co Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd. – BH ONLINE




