Ekonomi Islam & GlobalGovernans

UK Sifatkan Minyak Sawit Malaysia Sebagai Mampan

Suruhanjaya Perdagangan dan Pertanian (TAC) yang juga kumpulan penasihat pakar kepada kerajaan United Kingdom (UK), menyifatkan minyak sawit Malaysia sebagai mampan dan langkah mengenakan cukai berkadar sifar bagi komoditi itu dapat memberi manfaat.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron, berkata laporan terbaharu oleh pakar bebas berkenaan juga membuktikan bahawa komitmen Malaysia terhadap kemampanan adalah jelas dan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) merupakan satu piawaian emas bagi pensijilan lestari komoditi terbabit.

“Hakikat mengenai komitmen Malaysia terhadap kecemerlangan minyak sawit adalah jelas. MSPO adalah piawaian emas bagi pensijilan minyak sawit mampan dan dapat memberi jaminan kepada kedua-dua pihak pengimport dan pihak berkuasa UK bahawa kesemua aspek perundangan telah dipenuhi dan tiada usaha pembersihan hutan dilakukan.

“Malaysia menerajui dunia dalam pensijilan minyak sawit mampan dan kita berharap dapat membekal lebih banyak minyak sawit berkualiti ke pasaran UK dan lain-lain,” katanya.

Malah, MPOC juga menyifatkan bahawa berkata analisis kumpulan pakar itu turut merumuskan keperluan kemampanan MSPO telah dipenuhi dan melangkaui ketetapan perundangan UK.

Sehubungan itu, MPOC menyifatkan laporan pakar yang terperinci itu jelas membolehkan kesemua syarikat pembekal domestik dan antarabangsa ke pasaran UK untuk yakin sepenuhnya terhadap peranan MSPO sebagai mekanisme pengesahan tulen bagi pasaran negara maju berkenaan.

“Langkah seterusnya adalah pengiktirafan rasmi oleh kerajaan UK bahawa MSPO adalah mekanisme pematuhan dengan pihak Proses Usaha Wajar UK dan peraturan berkaitan.

“Sebagai piawaian sah bagi minyak sawit Malaysia, ini merupakan mekanisme pematuhan sedia ada dan layak untuk diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan UK,” katanya.

MPOC menjelaskan, selain daripada sokongan pakar, minyak sawit Malaysia turut mendapat sokongan politik di peringkat tertinggi kerajaan UK.

“Setiausaha Perdagangan UK, Kemi Badenoch telah menolak propaganda negatif mengenai minyak sawit dan menjelaskan di Sky News, media penyiaran Britain, bahawa minyak sawit adalah produk hebat dan digunakan secara meluas,” katanya. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close