Pilihan EditorTwo Cents

SATU PANDANGAN: ‘Jurang 5 Negeri Kaya, 9 Negeri Lain Semakin Besar’ – Ahli Ekonomi

Perhatian khusus amat perlu diberikan kepada sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional, memandangkan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar serta membimbangkan, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata kira-kira 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di sembilan negeri itu iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan.

“Data pendapatan mengikuti tahun juga menunjukkan jurang yang semakin melebar. Jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022. Peningkatan pendapatan perlahan dan kekal rendah di sembilan negeri terkebelakang,” katanya.

Mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan bulan lalu, pendapatan penengah isi rumah di Malaysia ketika ini adalah RM6,338, manakala purata pendapatan isi rumah pula adalah RM8,479.

Noor Azlan berkata, jurang pertumbuhan dan pendapatan antara lima negeri pendahulu atau dilabel sebagai negeri lokomotif, dengan sembilan negeri terkebelakang itu adalah sangat membimbangkan.

“Perancangan pembangunan khusus negeri sangat diperlukan, belanjawan tahunan negeri sahaja tidak mencukupi. Di samping pelan-pelan pembangunan induk dan sektoral negara, kita mesti beri perhatian yang khusus untuk setiap negeri, khususnya negeri-negeri terkebelakang yang perlu mengejar negeri-negeri lokomotif.

“Perancangan pembangunan bersifat khusus negeri sangat penting. Negeri-negeri dan wilayah lokomotif juga tidak boleh leka, terus membangun dengan pantas. Pastikan sifat lokomotif ini mampan dan semua merasa manfaatnya,” katanya.

 

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali - Foto fail NSTP
Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali – Foto fail NSTP

 

Lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka dilabel sebagai ‘lokomotif’ ekonomi negara kerana merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan yang lebih tinggi daripada purata penengah isi rumah negara.

Kira-kira 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga disumbangkan oleh kelima-lima negeri ini, yang berada dalam zon pertumbuhan dan pendapatan tinggi.

Noor Azlan berkata, sasaran-sasaran pertumbuhan dan pembangunan khusus negeri perlu diangkat dan diumumkan kepada khalayak, manakala pelaksanaan dan kemajuannya mesti dipantau dan dilaporkan.

“Kepimpinan kerajaan negeri mesti menerajui dan bertanggungjawab. Bukan matlamat untuk menyamai negeri atau wilayah lokomotif, tetapi memadai dapat mengurangkan jurang secara terancang. Mungkin menyamai satu hari nanti,” katanya.

Beliau menambah bahawa pelan strategik pembangunan negeri mesti diwujudkan dan kerjasama antara persekutuan dan negeri mesti diperkukuhkan, manakala Kementerian Ekonomi tidak lagi boleh bersifat tertumpu kepada Putrajaya.

“Sebagai ahli ekonomi, seruan saya bersama untuk pembangunan ekonomi, perbezaan politik tidak boleh dijadikan halangan untuk pembangunan ekonomi, rakyat yang merana,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close